Malang tidak berbau
Dua tahun lalu, menjelang hari-hari akhir sebelum bersalin, kami merentasi sempadan Melaka menuju kaki Gunung Ledang. Awalnya tiada dalam perancangan, sekadar mahu berjalan-jalan sahaja.
Allah izinkan sampai juga kami ke pusat rekreasi tersebut. Waktu itu, empat orang anak kami berpimpin-pimpin tangan sesama mereka. Kakak dengan kak teh, abang ngah dengan umi dan abang uda dengan abi.
Selepas meninjau kawasan, kami meletakkan barang. Saya duduk sambil membuka buku yang dibawa. Kononnya mahu membaca tetapi entah kenapa terasa bimbang pula melihat suami mahu mengendalikan semua anak di dalam sungai.
Lalu saya turun perlahan-lahan dari atas bukit menuju ke tebing. Sekitar saya ada sebuah keluarga besar sedang duduk berkelah. Ada yang sedang makan, ada yang berdiri di tebing dan ada yang mandi-manda.
Mata saya tidak lepas melihat si kecil Aman (abang uda). Suami sudah ke tengah air kerana membawa Khaulah dan abang ngah berenang. Asma’ bermain di tepi gigi air. Aman?
Perlahan-lahan dia bangun dari tebing menuju kepada abi! Dia masih kecil, berumur 3 tahun dan jelas di hadapan mata, Aman mula tenggelam timbul di dalam air meskipun cetek. Saya menjerit bagai orang gila. Tetapi orang di sebelah saya pun bagai tidak mendengarnya.
Yalah, kawasan air terjun, kan. Bunyi air lebih mengatasi yang lain. Sempat saya berdoa agar ada yang perasan. Sebab suami memang tidak menoleh ke belakang. Alhamdulillah, ada seorang lelaki terpandang kepada saya dan dengan pantas menyauk Aman dari dalam air.
Allah Ya Allah, menggeletar badan melihatnya. Langsung saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada saudara itu. Lantas saya dakap Aman dan menepuk belakang badannya mengeluarkan air. Muntah sungguh-sungguh dia. Tapi ayat pertama yang keluar dari mulutnya, “Aman nak mandi, Aman belum mandi sungai.” Allahu anak.
Suami yang baru perasan saya berada di tebing pantas saya gamit. “Jom balik. Naik sekarang.” Suami sedikit kehairanan tetapi tetap membawa semua anak naik. Allahu Allah. Sungguh dia juga terperanjat selepas saya ceritakan apa yang berlaku. Sekelip mata sahaja.
Tanpa berkata banyak, terus sahaja kami berkemas dan kembali ke kereta. Namun, sempat anak-anak urus diri dan makan sebelum kami pulang. Sudah melepasi waktu isyak ketika kami sampai di rumah. Masing-masing hanya diam melayan perasaan.
Saya mengetahui anak-anak protes kerana sekejap sahaja berada di sana. Tapi saya tak mampu bercakap banyak bagi menenangkan mereka. Diri sendiri perlu bertenang dahulu. Keesokan harinya baru saya menjelaskan kepada mereka.
Ya Allah, terima kasih kerana meminjamkan lagi anak ini kepada kami. Semoga Engkau berkati apa yang diberikan kepada kami dan pandulah kami ke arah kebaikan. Amin..Amin..
Malang tidak berbau. Ajal juga tidak memberi tanda awal. Bersediakah kita?