Margaretta Gauthier (Hamka)
Pagi tadi ternampak poster #cabaran100mukasurat. Kak Najibah A. Bakar dan Pn Zatika Izati Puade kongsi di wall FB mereka. Teringin juga nak masuk tapi memandangkan sedang sibuk menulis untuk Legasi Abah, saya pendamkan dahulu.
Menjelang petang, anak-anak bersiap awal hari ini sebelum maghrib jadi saya tidaklah kalut sangat. Tenang-tenang menunggu waktu maghrib tiba dalam sejam lagi. Hmm.. 100 muka surat buku. Rasanya sesuai jika saya pilih buku fiksyen.
Lalu saya memilih buku Margaretta Gauthier terjemahan Hamka. Terbitan Jejak Tarbiah.
Sedihnya cerita dia. Dari awal sampai habis rasa kasihan dengan Margaretta ini. Terfikir juga mengapa Hamka memilih buku ini untuk diterjemahkan. Karya asal dari Paris ini mengisahkan seorang perempuan pelacur yang tinggal di sana.
Jika dilihat, pekerjaan yang dipilih bukanlah atas kerelaan melainkan terpaksa untuk meneruskan kehidupan. Malang bagi golongan seperti ini. Dicemuh masyarakat tetapi di sisi lain sangat dicari-cari pula.
Dia tidak menerima sebarangan orang sebagai pelanggan. Yang sudah berkeluarga dan menjadi tunangan orang tidak mahu diterimanya. Dia masih mempunyai ihsan kepada orang lain.
Saatnya apabila terjatuh cinta dengan Armand Douval barulah dia merasakan nikmatnya hidup sebagai seorang perempuan. Diterima kerana kasih sayang bukan kerana kecantikan semata-mata.
Namun, bahagia itu tidak lama. Kedatangan ayah Armand iaitu En Douval dari kampung mencetuskan konflik seterusnya. Namun dia bukanlah orang yang tidak bertimbang rasa namun keadaan memaksa hubungan Itu ditamatkan segera.
Margaretta Gauthier akhirnya meninggal dunia di usia yang sangat muda dan tidak sempat pun bertemu dengan Armand semula. Armand yang banyak mengembara selepas terputusnya hubungan mereka tidak dapat dihubungi segera untuk menyampaikan surat-surat Margaretta.
Alang-alang baca 100 muka surat, lajak terus habiskan satu buku. Sampai seorang terkenang lagi kisahnya. Dapatkan buku Margaretta Gauthier di sinisini.
Buku 12 / 2021
#AinaBaca2021M #MisiMembacaAina #MalaysiaMembaca