Mencontohi Saad bin Abi Waqqas
Anak-anak baharu lepas mandi petang itu. Ada yang menyidai tuala, ada yang masukkan baju kotor ke dalam bakul, tak kurang ada yang terus main selepas mandi. Dengan rambut tak bersikat, tuala bersepah, lantai basah. Haih, jika nak disenaraikan jenuh uminya.
“Pergi sikat rambut kemas-kemas, letak minyak. Abang ngah tengokkan abang uda. Kak teh siapkan Kak chik. Kak long tengok baby sekejap.”
Keluar dah peluru berpandu umi. Haha. Jam menghampiri 7 malam. Anak yang lelaki digalakkan ke masjid untuk solat berjemaah. “Main lego lagi?” Umi mulalah rasa nak keluar kepulan asap dinasor. Haih anak.
“Abang ngah, mari sini.” Anak dipanggil ke bilik.
“Abang ngah tahu kan, orang lelaki kena solat berjemaah di masjid?” Dia mengangguk. “Abang ngah nak dengar cerita tak? Ada orang tu dia tak pernah tinggal solat berjemaah selama 20 tahun! Abang ngah rasa lama mana tu?”
Bulat mata si anak mendengarnya. “Siapa Umi?”
“Sahabat Nabi, Saad bin Abi Waqqas. Beliaulah antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga.”
“Haaa, abang ngah tahu! Pernah baca dalam buku Ana Muslim.” Saya mengangkat ibu jari.
“Abang ngah tahu? Bukan itu je kehebatannya. Saad bin Abi Waqqas :
✔️ Dikatakan tak pernah tengok tumit orang di depannya . Maknanya sentiasa solat di saf hadapan.
✔️ Dikatakan juga konsisten solat berjemaah selama 20 tahun. Malah dikatakan lebih lagi.
✔️ Tak pernah masbuk atau muafiq.
✔️ Beliau juga seorang pemanah yang sangat hebat. Beliau juga yang pertama melepaskan panah jihad fisabilillah.
Semoga anakanda Abdullah Naufal dan Abdurrahman ‘Arefee dapat mencontohi sahabat Nabi ini dan istiqamah solat berjemaah di masjid sampai hujung nyawa.
Amiin.
Aina Dayana Hilmi,
5 Februari 2022