Mengaji Dulu-dulu dan Sekarang

Dahulu, balik sekolah agama sesi petang pukul 6.30. Kadang mak ambil dengan motor, kadang kami berbasikal. Balik sekolah cepat-cepat mandi, urus diri dan makan. Tiba ke rumah ustazah sebelum azan Maghrib. Kalau terlewat, siaplah! Tadah telinga atau tadah tangan. Bagi saya, kedua-duanya mengerikan. Haha.

Sekarang, datang kelas mengaji ada SOP yang perlu dipatuhi. Wajib pakai pelitup muka, sihat dari selsema dan demam, sebelum masuk kelas perlu ambil suhu badan, pakai hand sanitizer dan kerap diingatkan untuk menjaga penjarakan sosial. Waktu kelas juga dipendekkan dan kadang-kala dihadkan jumlah murid dalam satu sesi. Oh PKP!

Dahulu kami solat berjemaah Maghrib, sambung dengan zikir petang dan meneras. (Meneras ialah istilah membaca al-Quran dari Surah Ad-Dhuha hingga An-Nas, diikuti Surah al-Fatihah dan 5 ayat pertama Surah al-Baqarah). Akhir sekali kami tutupi dengan bacaan doa khatam al-Quran. Hari-hari baca tanpa gagal. Alhamdulillah, sampai ke tua sekarang ini masih ingat semua surah tersebut.

Sekarang, tak ada lagi masa nak meneras. Anak-anak ini datang mengaji, duduk dan tunggu giliran. Selepas mengaji terus pulang ke rumah. Sudah tiada lagi rutin solat berjemaah mahupun meneras. Alhamdulillah, rutin membaca zikir petang kami tetap teruskan. Semoga ada yang berbekas di hati.

Dahulu, kelas mengajilah yang paling ditunggu-tunggu sekali. Duduk rapat-rapat masa meneras, lepas mengaji main galah panjang atau kejar-kejar. Ada hari dijamu makanan atau dapat jajan jika ada kawan ‘naik’ Quran, tiba ke juzuk 15 atau khatam al-Quran.

Sekarang, semua itu jarang jdi kelaziman. Ada yang sudah khatam tidak lagi datang mengaji. Tiada lagi majlis meraikan bersama kawan-kawan. Jangan salah faham, ia bukan kewajiban tetapi sebagai motivasi kepada kawan-kawan lain untuk lebih tekun mengaji al-Quran.

Dahulu, mak ayah akan hadir bersemuka semasa menghantar anak belajar mengaji. Dapatlah ustazah dan mak ayah berkenalan. Ada adabnya kata ibu mertua saya.

Sekarang, anak sahaja datang ke kelas. Ada yang sekadar mengikut kawan. Tiada persediaan, tiada semangat yang kuat mahu belajar mengaji. Guru pun tak kenal siapa mak ayahnya. Ikut pemerhatian kami, anak murid begini sekejap sahaja mengajinya. Malah, jika nak berhenti mengaji, tahu-tahu sudah lama tak hadir.

Teknologi sudah semakin maju, jangan sampai adab dan ‘common sense’ kita semakin ke jauh. Wallahualam.

Ada lagi tak? Pasti ada kenangan lain yang muncul di ingatan, bukan? Nanti saya sambung dalam entri yang lain insya-Allah. Kisah Mengaji Dulu-dulu ini antara buku yang compile kenangan penulis-penulis semasa mengaji al-Quran waktu kecil dahulu. Jemput baca dan dapatkannya. Pasti menggamit memori anda juga.

 

Aina Dayana Hilmi,

5 Februari 2022

Leave a Reply

Open chat