Menguasai matematik asas bagi anak bawah 6 tahun

Semasa saya masih di bangku sekolah, saya hairan melihat seorang kakak sepupu berhenti kerja kerana ingin fokus kepada anak. Saya lihat rumahnya penuh dengan carta dan kad menarik. Rupa-rupanya dia mengajar anaknya sedari kecil. Subhanallah. Kagum dengan kesungguhannya. Kini bila sendiri sudah jadi ibu, barulah memahami apa yang kakak itu alami sebelum ini.

 

Ilmu Allah itu sangat luas. Kadang-kadang kita tak akan tahu selagi kita tidak mengalaminya, bukan? Dahulu semasa tahun-tahun awal mengajar, saya tidak berkompromi dengan murid yang tidak siapkan kerja rumah yang saya beri pada hari Jumaat kerana saya menjangkakan anak murid ini akan siap semua kerjanya menjelang Isnin. Yalah, Sabtu dan Ahad kan hari cuti.

 

Tapi saya silap! Mana tahu anak itu tidak memahami bagaimana mahu membuat latihan tersebut. Atau tiada orang dapat memantau pelajarannya pada hujung minggu. Lebih teruk lagi sekiranya ibu ayahnya tidak sihat dan memerlukan penjagaan dari seluruh ahli keluarga. Sejak itu, saya akan memastikan anak murid (dan kini anak sendiri) memahami konsep sebelum mengajar mereka lebih dalam lagi bagi sesuatu topik.

 

Matematik anak kecil

 

Matematik bukan sekadar angka sahaja. Tetapi bentuk, saiz, arahan (atas, bawah, sebelah) mahu pun sukatan memasak juga adalah matematik. Mengambil kira pengalaman saya yang terkejut apabila ada anak yang tidak sukakan matematik, ia memberi satu kesedaran buat saya supaya aplikasikan konsep matematik dalam kehidupan seharian anak-anak supaya mereka tidak fobia dengan subjek ini.

 

Menurut Dr Mahani Razali, ada 5 teknik didik anak sukakan matematik. Jom kita ambil tahu :

 

Pertama : Integrasikan matematik dalam kehidupan seharian.

“Abang ngah tolong sidai baju saiz kecil je. Macam baju adik baby. Baju besar yang lain ummi sidai tau.”

 

“Jom adik kita makan biskut cicah teh ni. Oh, nanti sekejap. Biskut bulat ni besar. Mak patahkan kepada dua bahagian. Haa barulah muat nak cicah dalam cawan. Nah.”

 

“Kak teh nak tolong ibu masak? Ok, tolong kupas 5 biji kentang ini ya.”

 

“Mami, kakak dah susun kasut dalam rak kasut. Kakak susun dari besar ke kecil.”

 

Semua di atas ini adalah satu contoh kita kaitkan matematik dalam kehidupan seharian. Nampak familiar kan? Itulah matematik 😍

 

Kedua : Jadikan matematik suatu permainan.

 

Luangkan masa bermain bersama anak dapat membantu perkembangan emosi yang positif. Boleh gunakan permainan blok, teka-teki, bermain congkak dan sebagainya dalam menerapkan konsep matematik. Misalnya membuat kraf dengan cotton ball seperti ini :

Sumber gambar : Pinterest

Untuk anak yang lebih besar, jadikan permainan Bingo sebagai satu cara menarik minat mereka. Ini permainan terhangat semasa saya di sekolah rendah dahulu. Kalau cikgu tak masuk kelas kerana perlu menghadiri mesyuarat, cepat sahaja kami membentuk geng-geng bermain BINGO. Haha. Kini anak-anak saya pula main bersama.

 

Seronok, kan?

 

Ketiga : Menjadikan pembelajaran Matematik nyata dan bermakna

Biasanya ketika bulan Ramadan, saya suka libatkan anak-anak dalam menyedia juadah berbuka dan membuat kuih raya. Waktu ini, kita boleh ajar anak mengira selain memberi kemahiran di dapur. Harap-harapnya mereka ringan tulang jugalah sampai besar kan? 🤗

 

“Masukkan satu sudu gula sahaja dalam air tu.”

“Tolong masukkan 10 biji karipap dalam bekas ni. Ummi nak bagi nenek.”

“Susun 50 biji biskut cornflakes dalam bekas merah.”

“Adik, kasut kanan untuk kaki kanan. Kasut kiri untuk kaki kiri. Baru selesa pakai.”

 

Boleh, kan?

 

Keempat : Bacakan buku cerita berbentuk Matematik.

Saya suka mencari bahan bacaan sebegini. Tapi kalau tak jumpa pun, ibu ayah boleh bina sendiri. Orang kata DIY buku cerita sendiri. Antara buku cerita yang dalam ingatan saya ialah :

 

  1. Kisah Matematik Ajaib terbitan ITBM (ada 10 buah dalam siri ini)
Pokok Kek Madu

 

Ia merupakan karya terjemahan dengan ilustrasi menarik dan berwarna penuh. Berbaloi dapatkannya. Mengambil tema haiwan comel. Pasti anak-anak pun gemarkannya.

 

  1. Set Kunci Seronoknya Membaca terbitan Penerbitan Pelangi.

Ada enam buah buku dalam siri ini. Merangkumi tema keluarga, makanan dan lain-lain. Buku cerita Salad Buah dan Ayah Buat Kek antara tema Matematik yang menggunakan resipi.

Buku Salad Buah

 

Buku Ayah Buat Kek

 

Kelima : Gunakan bahasa matematik.

Perlahan-lahan ajarkan perkataan khusus seperti sukatan, masa, nama bentuk dan sebagainya. Beri penerangan dan contoh. Mudah-mudahan anak terbiasa dan akan mula faham.

 

“Vitamin ni makan sebiji sahaja sehari. Tak boleh lebih.”

“Sekarang kita tunggu kek masak sehingga 1 jam, ok?”

Mudah-mudahan anak dapat memahami konsep matematik asas ini dan seterusnya meminati matematik. Selepas ini saya mahu kongsikan bahan bantu belajar dan mengajar untuk anak kecil. Tunggu entri seterusnya insya Allah. Jemput berukhwah juga di Channel Telegram saya. Semoga bermanfaat. Doakan saya sekeluarga.

* Sebahagian gambar diambil dari pixabay.com

 

Aina Dayana binti Hilmi

 

 

 

 

 

2 thoughts on “Menguasai matematik asas bagi anak bawah 6 tahun

Leave a Reply

Open chat