Meniti zaman awal remaja
Suratkhabar Minda Pelajar di atas meja cepat-cepat saya buka. Aha, terus ke ruangan novel bersirinya. Saya keluarkan helaian itu dan masukkan ke dalam beg. Malam nanti ada projek. Tak sabar rasanya menunggu malam.
Zaman itu tiada telefon pintar yang canggih seperti sekarang. Boleh ambil gambar dengan mudah. Dahulu, masih pakai kamera ketik, perlu beli kodak. Entah apa istilahnya. Kodak itu jenama sebenarnya. Tapi semua sudah pukul rata sebagai Kodak. Jenama lain yang ada seingat saya ialah Fujifilm. Kita perlu cermat mengambil gambar sebab kodak mahal. Lagi sakit hati bila melihat gambar yang diambil tak elok. Hee.
Jeng, jeng, jeng. Selesai kerja sekolah dan mengemas beg, saya pun keluarkan buku tulis dan pen. Suratkhabar tadi diletakkan atas katil dan saya mula mencoret. Saya menyalin kembali novel bersiri tersebut. Aduhai, bila dikenangkan kembali macam manalah saya boleh gigih sangat menyalin kesemua siri tersebut. Bukankah boleh difotostat? Mungkin kerana akhbar itu bersaiz besar, agak sukar untuk difotokopi.
Buku nota yang saya gunakan ialah himpunan kertas lebihan daripada buku-buku tulis terdahulu. Ayah yang ajar. Koyakkan dari buku tulis lama, kumpulkan dan stepler. Ikut suka kita mahu tebal atau nipis. Bila buat latihan matematik, kami conteng jalan kira di situ. Ada juga yang saya guna untuk latihan menulis jawi. Petikan rumi dijawikan dan dihantar kepada ustazah untuk disemak. Tak ingat ustazah semak atau tidak. Itu hanya inisiatif kami untuk memahirkan diri menulis jawi.
Sudah lupa apa tajuk novel itu. Ia mengisahkan sepasang kembar lelaki yang membesar dalam keluarga yang harmoni. Seorang bersekolah asrama dan seorang lagi bersekolah menengah harian. Suatu cuti sekolah, mereka berpakat menyamar dan bertukar peranan. Stail rambut, pakaian, cara cakap dan sebagainya diubah betul-betul mengikut karakter kembar. Ibu mereka ada perasan perubahan itu tetapi mereka terus berlakon seolah tiada apa yang berlaku. Jadi tiada orang cakna apa yang berlaku.
Kemuncaknya terjadi masalah besar apabila kembar yang bersekolah asrama lemas ketika mengikuti program sekolah. Ya, kembar yang lemas itu memang tidak tahu berenang. Ia menimbulkan kemusykilan dalam hati adik-beradik yang lain. Mustahil kembar yang mahir berenang itu boleh lemas? Namun, di saat ibu bapa mereka masih berduka, mereka diamkan sahaja. Sudahnya mereka menyiasat sendiri. Kejadian itu menjadi tamparan hebat buat si kembar yang hidup. Saya tak ingat kesudahan cerita. Sama ada saya ketinggalan edisi tersebut atau memang benar terlupa.
Novel bersiri tadi beredar dari tangan ke tangan apabila adik bawa pulang ke sekolahnya. Sehingga akhir tahun, buku itu pun sudah lunyai. Tapi saya tak kisah, cuma jangan tiru pula ya. Mujur tak kena saman sebab cetak rompak! Begitulah zaman awal remaja saya yang bergelumang dengan bahan bacaan. Dunia saya hanya sekitar sekolah dan rumah. Jarang keluar berkawan kerana rakan seusia di kampung hampir semuanya sekolah berasrama.
Semua ini hanya tinggal kenangan tetapi tanpa sedar ia menyumbang kepada fasa kehidupan saya. Siapa sangka akhirnya Allah izinkan saya menghasilkan beberapa karya. Rasa macam mimpi dapat melepasi tapisan editor. Semoga ada manfaat yang pembaca dapat hasil pembacaan mereka.
#jurnalpenulisan
#cabaranjulai
#ceritatentangbuku
Aina Dayana Hilmi,
2 Julai 2022