Menulislah, kerana hanya orang sibuk menulis.

Saya berjinak-jinak dengan dunia blogging sejak tahun 2008. Waktu itu saya baru minat semula membaca buku selepas meninggalkan hobi membaca sejak sekian lama. Entah apa yang saya sibukkan sehingga buku tidak menjadi agenda utama dalam hidup ketika itu.

Namun, ketika di hujung tahun pertama persediaan mengambil ijazah sarjana muda di maktab perguruan, saya tertarik dengan rakan-rakan sekelas yang leka mengulit novel yang dibaca. Saya memang skeptik dengan novel ketika itu. Apa sahaja novel saya anggap novel cinta yang sama sahaja jalan ceritanya. Haha. Tetapi saya tetap menghormati pilihan kawan-kawan dan kagum dengan semangat membaca mereka.

Waktu terluang pasti ada buku di tangan. Wah, bagusnya!

Saya mula berminat untuk membaca semula. Cari punya cari, saya terjumpa novel Ramlee Awang Murshid bertajuk Tombiruo Terakhir. Subhanallah, cerita itu memikat hati dan tanpa bertangguh saya terus mengumpul semua novel tulisan beliau. Sementelah lagi, saya berada di tengah bandaraya Kuala Lumpur, maka akses kepada pelbagai sumber kedai buku sangat membantu ketika itu.

Ayah dan mak tidak berkata apa apabila melihat saya teruja mengumpul buku-buku tulisan Ramlee Awang Murshid. Tak silap saya, pengaruh itu terkena juga tempiasnya kepada rakan sebilik saya dan adik-adik saya. Bermulalah saya explore dunia internet untuk membaca ulasan-ulasan buku yang menarik untuk dibeli dan dibaca.

Antara yang berjaya mempengaruhi saya ketika itu ialah blog Tuan Jiwa Rasa, blog Tuan Web Sutera, dan Welma La’anda. Kemudian saya menemui laman sesawang Goodreads dan mula bergabung dengan komuniti Goodreads Malaysia sehingga kini. Semasa membaca blog Tuan Jiwa Rasa dan Tuan Web Sutera, saya rasakan betapa kerdilnya dan ketinggalannya saya ini apabila melihat buku yang dibacanya serta ulasan mantap mereka. Blog Welma pula yang memang mengkhusus kepada ulasan buku membuatkan saya tertarik juga untuk menulis ulasan buku yang telah saya baca. Bermulalah blog pertama saya ain.ya.nun.alif’s Site.

Sempatlah mengenali beberapa nama ulat buku yang terkenal dan ukhwah yang terjalin sebahagiannya masih kekal hingga ke hari ini. Ada juga pernah dihadiahkan buku percuma untuk diulas, mendapat sagu hati atas ulasan yang dibuat dan sebagainya. Sehingga kini saya sudah ada beberapa blog tetapi tidak semuanya dikemaskini lagi. Antara blog yang sentimental bagi saya ialah blog Fitrah Homeschooling yang saya tulis sejak Ogos 2015.

Kemudian apabila memasuki keluarga besar Tasneem Naturel, antara tugasan yang diberi ialah membina blog. Lalu saya bina blog Tasneem Naturel Melaka dan kini beralih ke laman web ini (ainadayana.com). Entahlah ya, menulis bagai satu terapi buat saya meskipun ada juga yang mengecam. Kita tak dapat nak puaskan hati semua orang, kan? Biarlah dia dengan persepsi dan anggapannya. Dan biarlah saya terus menulis. Mudah-mudahan ada manfaat yang dapat dikongsi bersama.

cherry fresh.jpg

Terima kasih kerana memberi maklum balas :)

shares