Menunggu ‘kelahiran’ Dunia Tanpa Bunyi
Semasa saya menulis catatan ini, manuskrip Kisah Inspirasi Guru Pendidikan Khas ; Dunia Tanpa Bunyi baru sahaja diserahkan kepada penerbit. Buku antologi ini bertemakan pengalaman mengajar guru-guru Pendidikan Khas Ketidakupayaan Pendengaran. Ada 25 buah cerita dikompilasikan menjadi sebuah bingkisan istimewa untuk para pembaca.
Imbas kembali, cetusan idea telah bermula sejak tahun 2012 namun dek hambatan tugas hakiki ketika itu menyebabkan projek penulisan ini tergendala. Hanya pada tahun ini, cadangan itu dinyatakan semula dan tanpa saya sangka Kak Faris menyambut baik dan pantas mencari rakan-rakan seluruh negara. Maka, kami berdua bekerjasama menyelenggara antologi kali ini.
Dalam debar, saya turut sama menyusun gerak kerja. Berbekalkan pengalaman sebagai penyelenggara Kisah Mengaji Dulu-dulu (KMDD), saya sedaya upaya menambah baik usaha kali ini agar ia berjalan lebih lancar. Kami memulakan projek pada 1 Julai 2021. Walaupun sasaran penerbitan sedikit beranjak dari tarikh asal, tetapi saya teruskan juga. Yang penting manuskrip ini terbaik dari segi kualiti, susun atur dan seumpamanya.
Banyak pengalaman dalam mengendalikan projek ini. Ada yang lucu, ada yang mencemaskan, ada juga yang memeningkan kepala. Mujur ada rakan penyelenggara yang sporting dan cekap. Waktu dinihari pun sempat lagi berbalas mesej. Maklum sahaja, ketika projek berjalan saya sedang sarat mengandung. Apatah lagi apabila saya terpaksa bersalin awal, saya akur bahawa saya perlu berehat seketika.
Sememangnya ia antara perkara yang menjadi perhatian saya. Siap ada serahan tugas lagi kepada Kak Faris. Pemantauan penulis, penyemakan karya penulis, proofreading (terima kasih Kak Shazlin), penambahbaikan oleh penulis semuanya diteliti berkali-kali sehingga puas hati sebelum diserahkan kepada editor. Sampai editor bertanya,
“Manuskrip ni ok. Sangat baik. Puan edit dulu ke? Sebab walaupun yang pertama kali menulis, saya nampak macam sangat ok. Pengalaman penulis semua best.”
Alhamdulillah.
Yang sebenarnya memang karya guru-guru ini sudah elok sangat. Kami berdua hanya bantu dari segi susunan ayat dan tatabahasa. Walaupun sudah baca berkali-kali saya tetap rasa kagum dengan kesungguhan dan kegigihan rakan guru ini mengajar. Nanti kalian baca tau pengalaman cikgu-cikgu ini!
Sebahagian besar adalah penulis pemula (pertama kali menulis) tetapi saya bangga mereka berani menyahut cabaran dan menulis pengalaman mereka untuk dibukukan. Ada yang mengajar di Johor, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan lain-lain. Pengalaman mereka juga luas. Selain bertugas sebagai guru, ada yang menyandang jawatan yang pelbagai, menjadi penterjemah, penulis buku teks dan lain-lain sumbangan.
Ini adalah antara desain awal kulit buku kami. Insya-Allah sudah ada pilihan di hati. Tunggu kami umumkan nanti. Sekali lagi, kami memilih penerbitan swaterbit untuk buku ini. Doakan ya.
Harga buku RM25 senaskhah belum termasuk kos penghantaran. Bagi anda yang berminat untuk memiliki buku ini, boleh hubungi saya untuk tempahan awal. Terima kasih atas sokongan!