Menyulam ibrah
“Kak, macam mana nak masak mee goreng sedap?”
Saya duduk bersebelahan meja Kak Wi sambil menaip rancangan pengajaran harian. Jam di dinding bilik guru sudah melepasi waktu persekolahan. Kami masih belum pulang. Ada sahaja tugasan yang perlu disiapkan.
“Mee ni nak masak senang sahaja, Aina. Yang penting bahan rencah cukup. Bawang tumbuk halus. Nak sedap lagi letak udang kering. Atau guna sedikit air rebusan ayam.”
Saya mengangguk-anggukkan kepala sambil pantas mencatat. Maklumlah tak pandai memasak waktu itu. Tinggal pula dengan mertua yang tidak sihat. Seharusnya sayalah yang menjadi orang dapur di rumah. Bila dikenangkan kembali, kelakar pula belajar memasak resipi mudah dengan Kak Wi.
“Bagi akak. Sebenarnya lagi lama kita memasak, misalnya dah belajar memasak sejak sekolah, pastilah masakan kita semakin sedap. Sebab hari-hari kita praktis memasak. Betul tak?” Itu pesan Kak Wi kepadaku. Kak Wi, seorang rakan di tempat kerja. Beliau seorang yang mahir memasak. Air tangannya tak pernah mengecewakan. Jika ada majlis di sekolah, sudah pasti namanya tidak ketinggalan dimasukkan dalam AJK Jamuan.
“Dulu masa kecil-kecil, akak dah kena memasak untuk adik-adik. Kau bayangkan umur akak baru darjah empat atau lima, mak dah beri tanggungjawab itu. Aku dahlah pendek. Tertinjit-tinjit atas dapur. Masak nasi, masuk lauk, masak sayur. Sedap tak sedap belakang kira. Mak ayah pergi menoreh getah.” Saya pula yang bergenang air mata mendengar ceritanya.
“Pernah juga terlambat masak. Mak balik pukul dua, akak belum masak. Apalagi, memang kena marahlah. Sejak tu akak serik. Beringat atas tugas yang mak bagi.” Saya suka dengar cerita Kak Wi. Orangnya merendah diri tetapi diam-diam ubi berisi. Banyak pengalaman hidup.
Kak Wi kini telah berpindah sekolah. Saya masih kekal di sekolah yang sama. Ada beberapa nasihatnya yang masih saya amal hingga sekarang. Barakallahu fiik Kak Wi.
* Gambar dari pixabay.com
Aina Dayana Hilmi,
5 Februari 2022.