Mimpi Indah

Sepanjang hidup jarang rasanya saya bermimpi ketika tidur. Orang kata kalau bermimpi, itu tandanya cukup tidur. Entahlah ya. Seingat saya pernah mimpi sesekali itu pun bagai tidak memberi makna di dunia nyata.

Selepas berkahwin, pernah ibu mertua bercerita. Dia nampak anak buah saya bernama Umar (waktu itu Umar kecil lagi. Mungkin baru setahun dua) berada di tepi telaga. Air sangat jernih dan cantik. Umar gembira berada di situ.

Saya hanya diam menanggapi mimpi itu. Tidak ada ilmu juga berkaitan mimpi ini. Tapi katanya jika mimpi air, ia simbolik kepada rezeki. Wallahualam.

Teringat kepada Ibn Sirin. Seorang ulama zaman silam yang berperawakan ceria tetapi ibadahnya tak ada siapa boleh lawan. Siang harinya membuat orang tersenyum, malam harinya beliau diam-diam beribadah kepada Allah.

Profil Ibn Sirin ini mempesonakan saya. Beliau seorang yang bijak, pakar fiqah dan hadis, kaya, berani, periang, bersosial dan pandai mentafsir mimpi. Nama sebenarnya ialah Abu Bakar Muhammad bin Sirin.

Satu peristiwa tentangnya yang saya terkesan.

Suatu hari terdengar beliau berbual dengan seseorang dan menyebut, “Aku tidak melihat lelaki hitam itu.” Segera beliau beristighfar. “Tidaklah aku merasakan diriku melainkan sedang mengumpat seseorang!”

Subhanallah.

Bab mengumpat ini memang perkara yang susah untuk dielak sehari-hari. Berusaha menjaga mulut, perbuatan dan lain-lain. Tapi selalu juga terkeluar komen dari mulut. Allahuakbar. Lemah sungguh iman.

Masih berusaha “berkata baik atau diam” terutama dalam situasi yang menjeruk perasaan di tempat kerja. Apa pun semua tempat pun sama jika kita tidak menjaga diri, kan? Doakan saya ya.

 

Aina Dayana Hilmi,

13 April 2022

 

#jurnalpenulisan

#Januari

#2

Leave a Reply

Open chat