Minggu keempat di MD Sayang
Bismillahirrahmanirrahim
Diam tak diam sudah masuk minggu keempat persekolahan bagi sesi 2022 / 2023. Tahun ini saya diamanahkan menjadi guru kelas MD Sayang. MD ialah singkatan kepada multiple disabilities. Murid ada tiga orang dengan pelbagai ketidakupayaan dan kesemuanya perempuan. Minggu pertama ibarat minggu suai kenal. Saya baru nak mengenali murid, murid juga baru hendak membiasakan diri dengan guru kelas yang baru. Minggu kedua persekolahan, perasan ada perubahan pada mereka. Syukur sungguh. Nampak kecil di mata orang lain tetapi sangat besar maknanya pada saya. Dari zero to hero insya-Allah anak-anak ini. Mereka sudah mula memahami 1 kod isyarat pun saya dah gembira sangat.
Saya sudah lebih 10 tahun tidak mengajar masalah pembelajaran. Walaupun saya berkelulusan dalam bidang ini tetapi ketika dipostingkan saya dihantar mengajar ke sekolah masalah pendengaran. Cuma beberapa tahun ini, ada kelas MD dibuka di ssekolah ini. Jadi saya mengambil masa untuk memahami karakter anak-anak, memahirkan diri dengan silibus, penulisan RPH (rancangan pengajaran harian) dan membuat bahan bantu mengajar.
Teringat kata-kata seorang pensyarah Pendidikan Khas dahulu, Pn Lee Chee Peng. Beliau pernah menasihatkan kami supaya “Membuat BBM dengan elok dan menyimpannya untuk kegunaan akan datang. Simpan dalam kotak, labelkan. Ia sangat berguna untuk kamu.” Masalahnya bagi saya, subjek mengajar bertukar-tukar. Adakalanya sehingga 2-3 kali setahun. Haha. Tapi itu nasihat yang sangat berguna untuk guru pemula, kan? Mengajar di sekolah pendidikan khas, tiada subjek khusus untuk guru (kecuali subjek agama sahaja memang ada gurunya yang khas). Dalam erti kata lain, guru harus jadi serba boleh sebab kena mengajar ikut tugasan yang telah diberi oleh pentadbir. Seram? Terima tugas dengan tanggungjawab. Hee.
Hari ini membantu PPM (pembantu pengurusan murid) mengurus anak murid yang cerebral palsy. Bila tantrum dan kaki cikgu dipijak dengan tidak sengaja, berasa juga sehingga saat ini. Hehe. Redalah. Warna-warni dunia cikgu pendidikan khas. Semoga perkembangan anak-anak ini semakin baik dari masa ke semasa. Tabiklah dengan ibu ayah mereka mengurus anak istimewa ini. Tabik juga dengan PPM yang seorang ini. Beliau boleh mengurus anak murid istimewa sehingga mereka mendengar arahannya. Semoga diberi kesihatan dan kekuatan mengurus.
Aina Dayana Hilmi,
12 April 2022