Misi Kira #1
Satu watak menarik dalam buku ini ialah Sina. Seorang budak lelaki berumur 15 tahun dan kini berada dalam tingkatan tiga. Sina seorang anak tunggal dan rajin membantu ibunya di kedai. Tidak diceritakan di mana ayahnya tetapi Sina digambarkan rapat dengan paksu (adik ibunya).
Di sekolah, Sina tiada rakan rapat sehinggalah Lim dan Mutu berjumpa dengannya untuk mengajak Sina menyertai Pertandingan Kuiz Matematik. Kuiz ini bukan biasa-biasa. Hanya mereka yang pintar sahaja boleh melaluinya.
Berbanding Lim dan Sina yang sangat mahir dengan Matematik, Mutu sebaliknya. Setiap kali mahu menjawab soalan, dia pasti tertidur keletihan. Aduhai Mutu! Tapi ia tetap beri satu kelebihan kepada kumpulan mereka. Haha. Mutu adalah rakan yang baik dan ada semangat setiakawan.
Sina sebenarnya seorang yang genius. Di sebalik penyertaan mereka dalam pertandingan matematik, ada misteri kehilangan pakar-pakar matematik negara yang menggemparkan!
Namun, penyiasatan menemui jalan buntu. Apatah lagi pegawai penyiasatnya turut hilang. Malah, pasangan pegawai polis itu turut ditemui mengalami kecelakaan jalan raya dan disahkan koma. Pihak berkuasa kehilangan punca untuk meneruskan siasatan.
Tapi, bagaimana kes ini dapat diselesaikan? Dalam masa yang sama, Lim rupanya menyimpan satu rahsia dari semua orang. Ada sebab mengapa dia beria benar menyertai pertandingan dan bertungkus-lumus mahu menjadi juara!
Buku ke-98 / 2021