Misteri
Suatu malam, kami pulang dari masjid selepas kuliah. Jam sudah melewati 9.30 malam. Namun kereta di laluan AMJ masih banyak. Mungkin berlibur dan mencari makan. Dua, tiga kali hon kereta dari kenderaan lain apabila melintasi kami.
Tak sedap hati, suami berhenti sekejap di bahu jalan. Aku yang memangku bayi tidur hanya melihat dari cermin tepi kereta suami keluar memeriksa bahagian belakang. “Pelik,” suaranya perlahan sahaja. Menyedari aku yang kehairanan, dia meneruskan, “Tempat tutup minyak tak ada.”
Ha? Kami tak ada berhenti isi minyak dua hari ini. Macam mana boleh hilang. Keraguan itu tidak menemukan kami dengan jawapan. Tanpa berlengah, kami dapatkan penutup yang baharu.
Selang beberapa bulan kemudian, aku mengemas bonet kereta. Ada peralatan berkebun yang sudah lama berada di situ. Aku malas nak angkat sebelum ini sebab ianya berat. Hari itu aku terpaksa juga keluarkannya seorang.
Karpet yang melapisi bonet juga kuangkat. Maklumlah nak mengemas. Tahu apa yang kujumpa? Penutup minyak! Terus istighfar. Dalam kepala berfikir siapa pula nak angkat alat berat tadi semata-mata nak sorokkan penutup minyak? Seram? Terasa juga…..
Aina Dayana Hilmi
23 Oktober 2022
Tahniah sahabat!