Misteri
Meninjau ke dalam rak sendiri, saya akui genre misteri paling sedikit di dalam koleksi. Pandang jauh ke belakang, saya gemar membaca misteri penyiasatan karya Enid Blyton semasa di sekolah rendah, Fear Street series dan Goosebumps karya R.L Stine (atau ini sebenarnya termasuk dalam genre seram?) semasa di sekolah menengah dan hampir tiada kecenderungan membaca genre ini di peringkat matrikulasi.
Berada di kampus Maktab Perguruan Ilmu Khas (kemudian dinaik taraf menjadi Institut Perguruan semasa saya menuntut di sana), saya berjinak-jinak membaca karya thriller dari arwah Imaen (Tn Rosdi), John Norafizan, Cikgu Zaifuzaman dan Ramlee Awang Murshid (RAM). Memang tak dapat nak berhenti bila sudah mulakan pembacaan. Sanggup pula mencari semua buku untuk dijadikan koleksi. Waktu itu walaupun biasiswa sedikit tetapi gigih mengasingkan sedikit belanjawan untuk belian buku setiap bulan.

Dalam banyak karya, saya masih teringat buku Mandatori karya RAM. Itulah pertama kali saya mengetahui tentang kecelaruan personaliti. Seorang yang normal pada pandangan mata boleh berubah menjadi sisi yang lain pada waktu tertentu. Dalam bidang psikologi banyak kajian telah dijalankan untuk kes sebegini. Dan saya memang terkesan dengan perjalanan watak dalam buku itu dari awal hingga akhir.
Pada tahun 2004, saya merasakan mesej dari buku itu agak berat. Tetapi selepas lebih 10 tahun ini, saya kira ia tidaklah begitu berat seperti yang saya anggap. Ia menggambarkan Amran yang tercedera emosi dan membiarkan diri dibaluti dendam atas kematian ayahnya yang tidak bersalah oleh mahkamah. Ayahnya yang baik dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan dadah. Tiada orang dapat membantu Amran mengatasi masalah psikologi yang dihadapi sehingga membawa kepada split personality. Menghibakan.
Lebih memedihkan hati apabila Amran dibuli semasa di sekolah oleh tiga orang pelajar yang merupakan anak orang kaya sehingga dibuang sekolah. Pada hari pertama Amran di buang sekolah, hari itu jugalah Amran turun ke laut untuk mencari rezeki. Malang sekali Amran hilang di laut. Tiada siapa tahu untung nasibnya. Berbelas tahun kemudian muncul pembunuh licik yang menggemparkan.
Ada 4 watak yang digambarkan dalam buku ini dan pembaca harus bijak mengagak tindakan seterusnya. Agak keliru sekiranya tidak membaca secara turutan. Mengenali Amran, Carlos, Bogart, Norman dan Bilal Piut membuatkan diri insaf dan terbuka minda akan impak keruntuhan institusi keluarga, kes buli dan cara mengawal emosi.
Begitulah. Kini, saya tidak lagi membaca genre misteri kerana saya suka terbawa-bawa ke dalam dunia realiti. Rasa marah, kecewa, bengang, trauma dan lain-lain pasti mengusik emosi beberapa hari. Jadi sebelum melarat jadi perkara lain, saya elak membacanya.
#jurnalpenulisan
#cabaranjulai
#ceritatentangbuku
Aina Dayana Hilmi,
8 Julai 2022