Nikmatnya masa
“Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari)……….” (Surah al-Isra’ ayat 12)
Merenung ayat ini semakin saya muhasabah diri. Allah jadikan waktu malam dan siang itu tidak sia-sia. Malam untuk berehat dan siang masa mencari rezeki, nafkah, menuntut ilmu dan lain-lain. Tapi jika kerja terlalu banyak saya akan sambung sebelah malamnya. Namun semakin menginjak usia, kudrat untuk tidur lewat sudah tidak ada dalam kamus. Jika dipaksa juga, badan akan mula hilang sebahagian fungsinya.
Nikmatnya masa yang Allah bagi. Masa ialah kejadian Allah yang saya kagumi kekuasaan-Nya. Masakan tidak, masa tidak boleh diundur. Sedetik tadi tidak sama dengan sedetik yang sekarang. Masa terus berjalan dan tidak akan menunggu sesiapa. Teringat soalan seorang rakan. “Andai ini ramadan terakhir, apa yang Aina akan buat?” Terkedu mendengarnya. Bukan tidak tahu jawab tetapi spontan terbayang andai hari itu ialah hari terakhir di dunia, apa yang boleh dibuat? Ya Allah, sungguh kita tidak boleh menangguh kerja, culas dalam menunaikan yang fardu dan sentiasa mengingati mati.
Catatan ini ditulis selepas mendapat tahu Cuti Hari Wesak dibawa ke hari Isnin dan saya menarik nafas lega. Banyak kerja bersusun. Doakan saya dapat selesaikan amanah dan tanggungajwab dengan baik ya. Mengimbangi kembali diri sebagai isteri, anak, ibu dan guru. Mudah-mudahan lancar urusan saya dan kalian minggu hadapan dan seterusnya 🙂
Jumpa lagi.
Aina Dayana Hilmi,
13 Mei 2022