Novel kanak-kanak

Dahulu saya sendiri tidak tahu perbezaan antara istilah Fiksyen dan Bukan Fiksyen. Apabila diterangkan oleh seorang rakan di Goodreads Malaysia barulah saya ambil tahu maknanya. Fiksyen ialah cerita rekaan atau cerita yang berdasarkan kisah benar seperti novel dan kumpulan cerpen. Manakala Bukan Fiksyen merangkumi buku ilmiah, travelog dan sebagainya.

Ketika mengikuti sebuah taklimat anjuran Bahagian Pendidikan Islam Selangor suatu ketika dahulu, kami didedahkan dengan kepentingan membina sebanyak mungkin novel kanak-kanak dan novel awal remaja islami untuk bacaan anak-anak. Anasir luar yang jahat ingin memesongkan akidah anak-anak banyak didapati melalui bahan bercetak dan bukan bercetak. Salah satunya melalui buku cerita.

Dalam diam saya akui kebenaran itu. Saya teringat seorang rakan semasa di sekolah rendah. Disebabkan keinginan membacanya tinggi , dia boleh membaca pelbagai jenis buku, novel dan majalah. Waktu itu masih di awal tahun 90-an, masih belum ada akses kepada internet. Lalu dia mengatakan kepada saya, “Kenapa ya orang suka baca novel cinta tu? Banyak benda tak senonoh tau.”

Saya ini hanya ada akses kepada buku cerita yang mak ayah belikan dan pinjam diperpustakaan sahaja. Jadi saya pun tidak tahu mahu balas apa kepada kawan saya.

Meningkat remaja, akses bahan bacaan juga masih terhad di perpustakaan sekolah. Namun ada suatu tahun terdapat pembaharuan di Pusat Sumber Sekolah. Saya ingat lagi guru PSS yang baru mengambil alih iaitu Cikgu Saleh Ahmad. Disebabkan saya seorang pustakawan, kami dipanggil untuk membantu guru memproses buku baru. Banyaknya novel! Seronok betul kawan-kawan kerana banyak buku baru.

Dalam diam saya memerhatikan jenis novel yang cikgu beli. Semuanya bertemakan kekeluargaan, ilmu, pengembaraan dan kurang sekali tema cinta yang melalaikan. Masya Allah. Kagum sekali saya dengan guru-guru. Pada saya yang naif ini, cikgu bagaikan tahu apa yang saya fikirkan. Haha.. Saya bimbang melihat kawan-kawan yang membaca novel cinta yang mempunyai adegan 18SX di dalamnya. Lama kemudian baru saya maklumi bahawa Cikgu Saleh adalah penulis buku latihan Bahasa Melayu di bawah penerbit Sasbadi. Patutlah. Cikgu mesti mempunyai minat mendalam mengenai buku-buku dan faham tujuan memberi pendedahan yang baik kepada anak-anak remaja.

Berbalik kepada taklimat buku tadi, pihak BPI dengan kerjasama Galeri Ilmu Sdn Bhd sedang mencari manuskrip novel kanak-kanak dan awal remaja untuk diterbitkan. Maka kumpulan guru yang dipanggil inilah diharap dapat memberi sumbangan kepada industri perbukuan negara. Untuk menulis sesebuah cerita, penulis harus terlebih dahulu mengetahui tatacara pembuatan sesebuah manuskrip selain membuat banyak kajian terhadap cara penulisan novel kanak-kanak.

IMG_20190928_174016.jpg

Usai seminar itu, saya “menyelongkar” rak buku di rumah dan mencari semula novel kanak-kanak yang ada dalam simpanan. Kebanyakannya telah lama saya beli semenjak belum berkahwin lagi. Memang niatnya untuk diwariskan kepada bakal anak-anak. Haha.. Jauh benar saya berfikir. Waktu itu lagi saya sudah membaca buku fiksyen jenis ini kerana ingin mengetahui apa mesej yang ingin disampaikan kepada anak-anak pembaca.

IMG_20190928_173905.jpg

Memang ada baiknya kerana buku-buku ini saya boleh cadangkan kepada anak-anak remaja yang datang mengaji di rumah waktu itu. Memberi pendedahan kepada mereka bahawa banyak sebenarnya bacaan yang baik untuk mereka pada masa lapang. Dengan harapan mereka kuranglah menonton televisyen dan keluar berjumpa kawan berjam-jam ketika cuti sekolah. Namun ia proses yang sangat panjang dan berada di luar kawalan saya.

Bagi anak-anak saya kini, minat mereka baru dipupuk. Komik menjadi kegemaran utama mereka. Alhamdulillah sudah ada banyak pilihan komik seperti Komik-M, koleksi komik terbitan Ana Muslim dan Galeri Ilmu. Untuk novel kanak-kanak saya dedahkan kepada novel terbitan PTS, Jemari Seni, Ana Muslim, Galeri Ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Blink (di bawah penulis Ain Maisarah).

IMG_20190928_173949.jpg
Sebahagian buku kanak-kanak terbitan Jemari Seni

Bagi menggalakkan anak-anak membaca novel, saya juga harus tunjukkan kepada mereka yang saya juga minat membaca. Maka dalam seminggu dua ini memang banyak novel mereka saya baca. Kemudian saya buatkan ulasan ringkas dan diceritakan kepada anak-anak. Novel kanak-kanak ada juga perkara lucu dan ada juga fakta yang diselitkan. Secara tidak langsung ia banyak membuka minda anak-anak tentang sesuatu ilmu baru selain menambah perbendaharaan kata.

IMG_20190928_171222.jpg

Saya sudah membaca hampir kesemua buku dalam siri Dunia Sains Aiman. Tahniah kepada penulisnya (Umi Kauthar Abdul Razak)
kerana berjaya membina cerita bersiri yang menarik dan berinformasi untuk anak-anak. Setahu saya penulis ada menulis beberapa buku lain yang berkaitan dengan sains dan matematik. Antara buku Dunia Sains Aiman yang telah saya baca ialah :

1) Bola
2) Diari Ramadan Aiman
3) Demam F1
4) Alam Ria Cuti Sekolah
5) Harta Karun
6) Semut

Yang belum dibaca ialah :
1) Dari Rusia ke Malaysia
2) Kereta Solar

Setiap satunya ada sahaja fakta sains yang baru saya ketahui. Menarik tau cara penulisan Puan Umi Kauthar. Memang laras bahasanya mudah untuk kefahaman anak-anak insya Allah. Saya cuba buatkan resensinya nanti. Jumpa lagi.

Leave a Reply

Open chat