Pada Suatu Hari
Buku : Pada Suatu Hari…
Penulis : Reyna Ibrahim
Penerbit : Rimbunan Publishing House (2020)
Bilangan muka surat : 258
Mengenali nama Reyna Ibrahim dalam bukunya yang terdahulu seperti Lagi-lagi Cerita Bilik Guru dan Kurnia. Ada lagi beberapa buah bukunya yang sempat saya baca. Saya mula menggemari tulisannya.
Pada Suatu Hari Ini menarik pada pandangan saya. Layout buku cantik dan berwarna penuh. Awalnya saya rasakan agak lambat bergerak. Tetapi bab demi bab perjalanan cerita semakin menggamit rasa untuk terus membaca.
Bahasanya lembut memberi nasihat dan berkongsi ibrah dari peristiwa yang pernah dilaluinya. Salah satu bab yang saya terkesan ialah buruk sangka. Beliau menceritakan seorang rakannya gemar masuk pertandingan dan seringkali menang.
Terdetik buruk sangka dalam hatinya. Tetapi kemudian hari, barulah beliau tahu kisah hidup rakannya itu. Membesar dalam keluarga yang bermasalah, jadi selain bekerja untuk memenuhi keperluan diri, rakannya memasuki mana-mana pertandingan. Hadiah itu bolehlah digunakan sehari-hari.
Membaca bab ini, saya terkenang semasa belajar di kampus dahulu. Pergaulan saya tidak begitu meluas. Hanya mendengar celoteh kawan-kawan bercerita tentang orang lain. Ada yang datang dari keluarga susah, maka segala perbelanjaan mereka harus berjimat-cermat, ada kawan menghantar hampir keseluruhan elaun belajar kepada keluarga maka dia perlu bekerja part time untuk menampung kehidupan di sini.
Dari situ saya belajar untuk tidak menilai seseorang semata-mata dari luaran. Berbuat baik dengan semua orang dan membantu mereka tanpa rasa berat hati. Masing-masing ada struggle mereka.
Keseluruhan buku ini mengingatkan kita bahawa ingatlah Allah dalam apa jua keadaan, bergantung haraplah hanya kepada-Nya. Setiap sesuatu yang berlaku bukan tiada sebab sebaliknya pasti ada sesuatu yang Allah nak tunjuk kepada kita.
Suka ayat ini :
Hiduplah seperti gula
yang menambah keenakan teh dan kopi
tanpa terlihat zahirnya,
Hiduplah seperti embun
yang menyejukkan jiwa-jiwa.
Mutakhir ini, semakin hilang ‘common sense’ orang terhadap sesuatu. Sedikit sebanyak melalui kisah kehidupan di dalam buku ini menyedarkan kita akan kepentingan peka terhadap sekeliling. Pandanglah hikmah dalam setiap kejadian dan melatih diri melihat kebaikan walaupun sekecil cuma.
Bagi anda yang dilanda kebuntuan dan terasa kurang bersemangat, saya cadangkan buku ini untuk membugar kembali kegembiraan anda menjalani kehidupan seharian.
Buku 3 / 2022
Aina Dayana Hilmi,
9 Januari 2022.