Pagi hujung minggu, bukan masa bermain

Masa kecil-kecil dahulu, pagi hujung minggu bukan masa bermain. Kebanyakan anak kampung waktu itu sudah bersiap awal ke kelas fardu ain di masjid. Saya dan adik-adik tak terkecuali. Mengantuk macam mana pun mesti bersiap juga. Takut punya pasal. Ustazah garang uii 😂

Tiba di masjid, masing-masing ambil tempat. Perempuan di kiri, lelaki di bahagian kanan. Siap-siap ada wuduk, buku tulis dan alat tulis. Sementara tunggu ustazah sampai, waktu inilah berborak dengan kawan sambil tengok pensel cantik atau bekas pensel comel kepunyaan kawan. Perempuan kan, semua benda boleh jadi modal berbual 😆

Saya ingat lagi, kami akan mulakan dengan bacaan Surah Fatihah dan mengulang pelajaran lepas. Kemudian kami akan menulis pelajaran baru. Tulisan bismillahirrahmanirrahim ustazah cantik! Dan alhamdulillah terima kasih kepada beliau, seawal usia saya sudah pandai tulis surah Fatihah tanpa melihat Quran ❤️

Ada banyak zikir sahih, doa, surah al-Quran dan tajwid yang diajar dan melekat dalam ingatan hingga kini.

Bagi yang belum pandai menulis, diajarnya menulis huruf hijaiyah sehingga pandai. Walaupun kena tulis penuh dalam satu muka surat, kami tak bosan pun. Bagi kakak abang yang sudah boleh menulis sendiri, mereka perlu salin nota di papan putih. Waktu itu, pen penanda (marker pen) mahal dan dikira mewah bagi anak kecil seperti kami.

Tapi ada juga kawan-kawan saya yang beli dan simpan dalam bekas pensel mereka. Tujuannya bila-bila masa ustazah kehabisan dakwat pen, cepat-cepat mereka hulurkan. Bangga kalau ustazah terima untuk menulis di hadapan. Masya Allah!

Bila tiba bulan Ramadan, kelas tak cuti. Kami datang untuk tadarus pula. Akan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan. Ini bagi mereka yang sudah khatam. Kawan-kawan yang lain mengaji seperti biasa di hadapan ustazah. Kami turut dibiasakan dengan solat sunat tahiyatul masjid dan solat sunat dhuha. Ustazah sangat menitikberatkan kesempurnaan wuduk dan solat.

Selesai kelas, biasanya diberi wang syiling setiap seorang. Sepuluh sen, dua puluh sen sangat menggembirakan. Apatah lagi jika diberi lima puluh sen! Terasa seperti orang kaya 🤩

Puluhan tahun telah berlalu tetapi saya masih mengenang jasa ustazah. Dan pahalanya mengalir banyak apabila saya sendiri dapat mengajar anak-anak membaca dan mengaji al-Quran. Sungguh saya renungi hadis ini :

Daripada Uthman RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Orang yang paling baik di antara kamu adalah seseorang yang belajar al-Qur’an dan mengajarkannya.” (Hadith riwayat al-Bukhari, No. 5027, Abu Dawud, No. 1452, at-Tirmizi, No.2907)

Semoga kita semua terus mencintai al-Quran hingga akhir hayat. Jom al-Kahfi bagi yang belum selesai ❤️

Past.. nanti nak sambung cerita pasal aktiviti kelas mengaji kami. Salah satunya ialah Majlis Khatam Quran 😘 Tengok gambar pun tahu ini tahun bila kan? Awal 90-an dahulu 🤭 Terselitlah saya di situ. Pertama kali dalam sejarah batch kami yang khatam semua perempuan 😁

18278749_1856592711333051_8393516281099000069_o

Aina Dayana Hilmi,
Membina generasi al-Quran.

Leave a Reply