Pak Ya Koman The Lawyer
Tulisan kisah hidup yang dibukukan sekurang-kurangnya dapat ditatap oleh anak cucu dan generasi seterusnya. Dalam sebuah kisah pasti ada sahaja kebaikan yang boleh kita ambil.
Kak Salmah ialah salah seorang rakan penulis dalam Legasi Abah. Kami sama-sama berada dalam kumpulan 7 dengan buku kami bertajuk Lelaki Pawana Cinta.
Apabila dikhabarkan yang beliau terbitkan sebuah buku solo, saya mengambil peluang untuk mendapatkannya. Mungkin saya selesa dengan genre kisah hidup begini. Melalui cerita seumpama ini, saya mengenali susah payah yang dialami oleh seseorang. Ia menjadi peringatan buat diri agar meletakkan empati dan tidak memukul rata semua orang adalah sama.
Kak Salmah sempat melalui zaman kesusahan ibu ayahnya membesarkan mereka adik-beradik. Meskipun bongsu tetapi tidaklah dimanjakan oleh mak dan bapak. Tertarik dengan disiplin yang diajar. Tak perlu membebel, anak-anak memerhati apa yang ditunjuk oleh mak dan bapak lantas melaksanakan tugas masing-masing.
Macam mana mak ayahnya didik anak-anak supaya makan sahaja apa yang ada? Emak sudah siap-siap sendukkan nasi dalam pinggan masing-masing dan mereka tidak meminta untuk menambah makanan. Baik-baik belaka adik-beradik Kak Salmah. Masya-Allah.
Dalam banyak bab, saya terkesan dengan Bab 12 : Sehari Dalam Hidup Mak. Penatnya emak zaman itu. Dengan dapur kayu apinya, dengan tiada mesin basuh mahupun tiada kenderaan mahu ke mana-mana. Gigihnya berjalan kaki jauh-jauh menziarahi dan menyantuni keluarga yang susah. Ia bukan penghalang ibu-ibu melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang.
Sungguh, emak zaman itu berjaya menunjukkan kekuatan fizikal, emosi dan mental buat teladan anak-anak. Satu nasihat emak Kak Salmah membuatkan saya juga teringat-ingat.
“Kita perlu uruskan kerja sebaiknya bukan tugas kita mengurus waktu.”
Saya kira tajuk buku ini diambil sempena nama abang Kak Salmah. Ramai juga adik-beradik beliau yang dapat menyambung pelajaran ke luar negara. Alhamdulillah.
Terima kasih Kak Salmah atas naskhah ini. Semoga terus maju jaya.
Bagi kalian yang berminat untuk dapatkan buku ini, boleh hubungi Kak Salmah ya.