Penulis Kegemaran

Satu yang saya sedari, bukan semua buku kita dapat baca. Dan bagi seorang penulis juga, tidak semua orang boleh membaca buku kita. Setiap buku ada pembacanya sendiri. Setuju tak? Sejak dari kecil hingga sekarang, ada beberapa nama yang melekat di ingatan. Saya mengaku, faktor pilihan buku saya bergantung kepada siapa penulisnya, siapa penerbitnya dan apa sinopsosnya.

Semasa kecil banyak membaca karya Enid Blyton. Waktu itu memang saya sangkakan beliau seorang lelaki. Namun, apabila mengetahui yang beliau ialah perempuan saya tertanya-tanya, benarkah ini namanya? Jika saya tidak silap, dalam buku Kembara Nisah Haron ada menyatakan zaman itu ada diskriminasi antara gender penulis. Jadi, dengan memilih nama pena begitu, ia lebih ‘selamat’.

Saya menggemari tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR), Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Ustaz Pahrol Mohd Juoi bagi buku agama. Karya Kak Noor Suraya dan (almarhum) suaminya, Tuan Rosdi dengan nama penanya Imaen turut menjadi koleksi. Tidak dilupakan saya membesar dengan karya penulis Jemari Seni seperti Hlovate dan Syud serta naskhah terbaik dari Tuan RAM (Ramlee Awang Murshid).

Novel Hadiah Sastera turut memperkenalkan saya dengan Pn Sri Rahayu Mohd Yusop. Sanggup memburu bukunya di perpustakaan untuk dibaca. Saya juga menggemari karya Hilal Asyraf. Bermula dengan VT sehinggalah Nirnama. Karya yang baik sedikit sebanyak memberi kesan kepada diri. Dengan membaca beberapa buah buku di atas, sedikit sebanyak saya boleh cadangkan bacaan yang bagus untuk anak-anak dan rakan-rakan.

 

Dr Zulkifli al-Bakri

 

Seingat saya, beliaulah antara orang pertama yang saya akan cari bukunya jika ada terbitan baharu. Sejak membaca buku Dr Abdul Rahman Humaid yang ditulis beliau, saya terus mencari karya yang lain seperti Wasiat Untuk Anakku, Puteriku, Nasihat Abah Untukmu, Perpustakaan Dalam Islam dan lain-lain. Hormat dengan keluasan pengetahuannya dan kagum dengan kesungguhan beliau mengajak anak muda minat membaca. Jarang dengar saranan ini dari orang lain.

Perpustakaan dalam Islam: Semarakkan Budaya Membaca
Sumber gambar : Web Bookcafe PTS

Cubalah baca bukunya. Insya-Allah tertawan dengan susunan aksara beliau. Yang penting bermanfaat, insya-Allah.

 

 

Leave a Reply

Open chat