Permainan kreatif untuk LDK

Zaman muda-mudi di kampus dahulu, pernah juga ikut kawan kendalikan program untuk adik-adik di sekolah rendah dan menengah. Waktu itulah belajar banyak perkara seperti kemahiran mengurus sesebuah program, membuat kertas kerja, belajar berurusan secara rasmi, mencari dana dan sebagainya.

Seronok beraktiviti dengan mereka. Semasa merancang program, modul LDK (latihan dalam kumpulan) turut tersedia. Dalam diam saya memerhatikan dan mempelajari teknik para senior membikin modul. Kreatif benar!

Rupanya sampai sekarang saya dapat gunakan ilmu pengetahuan itu. Banyak manfaat yang dapat diperolehi. Saya dapat ‘apply’ dalam aktiviti anak-anak, anak murid dan program ad-hoc kelas mengaji di kampung. Antara permainan menarik dalam ingatan :

1. Permainan taaruf.

Pernah sekali kami berusrah di KLCC. Jauh berjalan dari stesen LRT. Tiba di dewan solat masjid As-Syakirin, berpeluh-peluh dibuatnya. Naqibah ada sediakan tisu. Jadi kami pun ambillah untuk lap peluh. Tiba sesi taaruf, naqibah minta perkenalkan diri mengikut bilangan tisu yang diambil tadi. Ada yang ambil banyak, ahaa kantoi. Haha.

 

2. Gajah

Bentukkan satu bulatan. Dalam berpasangan tiga orang, seorang akan berfungsi sebagai telinga kanan gajah, telinga kiri gajah dan belalai. Apabila fasilitator menyebut ‘telinga’, automatik mereka berfungsi meletakkan tapak tangan kanan pada telinga kanan dan kiri kawan, dan yang berperanan sebagai belalai akan berdiri tegak dan meletak tangan pada hidung (membuat aksi belalai). Lihat sama ada mereka peka atau tidak dengan arahan šŸ˜‰

 

3. Spider web

Permainan kegemaran kami! Seronok dimainkan beramai-ramai. Masing-masing perlu menyilang tangan secara rawak dan memegang tangan rakan lain. Kemudian perlu buka semula tangan (tanpa putuskan pegangan tangan) membentuk sebuah bulatan besar. Di sini perlukan kebijaksanaan merancang.

 

4. Buat apa yang saya cakap, bukan buat apa yang saya buat.

Familiar tak dengan ‘quote’ ini? Cara bermainnya, misalnya fasi sebut pegang telinga. Tapi beliau pegang tangan. Jadi peserta perlu peka dengan arahan bukan perbuatan.

 

5. Dam besar

Permainan ini datang dengan satu lakaran di kertas. Ada simbol tertentu pada kertas dan dam besar di atas lantai. Dahulu kami gunakan padang badminton atau padang bersimen. Lukis guna kapur sahaja. Arahan boleh jadi apa sahaja mengikut kreativiti. Ada yang letak tapak kaki. Peserta perlu lompat mengikut arah tapak kaki pada dam. Nasiblah jika terpaksa melompat jauh sedikit šŸ˜…

 

Ada banyak lagi aktiviti yang menyeronokkan. Anda pasti ada yang lebih menarik daripada saya. Kongsikan jika anda masih ingat kenangan permainan LDK zaman sekolah / kampus dahulu.

Jumpa lagi.

* Gambar program kelas ngaji kami tahun 2018 jika saya tidak silap.

 

Aina Dayana Hilmi,

6 Februari 2022

 

Leave a Reply

Open chat