Pertama kali membeli atas talian

“Puan, saya xxxxx dari kedai buku xxxxx. Puan ada buat tempahan buku ke?” Suara di corong telefon itu membuatkan aku menepuk dahi. “Ya, ada encik. Saya akan bayar melalui CDM (cash deposit machine) esok insya-Allah.” Alahai macam mana boleh terlupa nak bayar petang tadi. Waktu menerima panggilan, jam sudah melepasi 8 malam. Itulah antara cubaan awal aku membeli buku atas talian.

Rasa sangat noob waktu itu sebab tiada rakan yang boleh kutanya. Jadi, cuba buat sendiri berpandukan arahan yang diberi di laman web berkenaan. Selepas sekali dua pembelian berjaya, aku semakin yakin mengendalikan sendiri. Ada waktunya dapat juga bantu rakan-rakan yang lain membeli-belah atas talian. Cuma, bila terlalu kerap, suami pun berbunyi juga. Apa lagilah yang dibeli isterinya ini? Haha.

Selalu juga aku membeli melalui urusan emel kepada kedai buku. Aku kerap membeli dengan Fajar Ilmu Baru di Jalan Masjid India. Tambahan, tuan kedai ini sangat mahir dengan buku yang dijual. Tanya sahaja judul lain yang berkaitan pasti pembeli akan dapat senarai yang panjang. Kemudian, apabila sudah ada online banking sendiri, tak perlu lagilah aku ke bank. Semuanya di hujung jari asalkan ada duit di dalam akaun.

 

Aina Dayana Hilmi

10 Oktober 2022

Leave a Reply

Open chat