Pulut kuning

Mengaji dulu-dulu pasti tak tinggal pulut kuning ini. Makanan ini ada dalam cara istimewa seperti majlis khatam Quran, naik Quran atau seumpamanya. Bukan wajib pun sebenarnya, tapi lebih kepada budaya setempat yang bertujuan meraikan anak-anak dan menjamu orang makan.

Kadang-kadang bila tiba juzuk 15 pun, ustazah akan maklum kepada murid supaya beritahu mak ayah. Seronoklah kawan-kawan waktu itu. Pasti ada jamuan menyusul. Goodie bag jajan jarang ketinggalan 😉

Dalam juzuk 15, ada satu perkataan yang diwarnakan merah. Katanya itulah huruf tengah-tengah dalam al-Quran. Malah bingkai ayat Quran juga berwarna merah pada muka surat 295 – 296 (Surah al-Kahfi). Wallahualam. Itulah design Quran waktu itu. Sekarang surah banyak yang berwarna.

Selalu ustazah pesan,

“Mengaji kerana Allah, bukan kerana mahu khatam cepat. Dah khatam pun, kena mengaji lagi.”

Akal budak kecil waktu itu menurut sahaja meskipun timbul persoalan nakal : Kan mengaji ni nak khatam cepat? Kenapa ustazah pesan begitu? Namun ia berlalu begitu sahaja. Seiring waktu, semakin memahami mengapa al-Quran harus dibaca selalu.

Lagi-lagi apabila mengetahui hadis ini :

Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah utrujah (limau sitrus), rasanya enak dan baunya wangi. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah kurma. Rasanya enak tapi tidak berbau. (Riwayat al-Bukhari)

Semoga kita istiqamah dengan al-Quran hingga hujung nyawa 🤲

 

Aina Dayana Hilmi,

6 Februari 2022

Leave a Reply

Open chat