Ramadan suatu waktu dahulu

Sejak kecil, saya sekeluarga memang tinggal bersama nenek dan datuk. Mak saya hanya ada dua beradik. Yang sulung dipanggil Pak Long Idris. Dan mak pula anak kedua dan bongsu. Nenek ada menjaga seorang anak saudara yang saya panggil Ngah Ida. Tidak lama kemudian lahirlah emak saya.

 

Nenek memang sibuk kerjanya dari celik mata hingga ke malam. Dia seorang surirumah yang berjaya di mata saya. Rumah sangat kemas, masakan tip top, menjaga cucu-cucu dengan baik meskipun mulut bising sentiasa. Tanpa saya sedar, betapa penatnya melalui rutin surirumah setiap hari tanpa gagal.

 

Bulan puasa adalah waktu istimewa sekali. Balik dari sekolah agama petang, saya dan adik-adik akan menjengah ke dapur. Melihat nenek dan mak sibuk menyediakan juadah berbuka puasa. Air tangan nenek sedap. Mak pula menjadi pembantu dapur yang setia dan cekap.

 

Melihat nenek menguli doh cucur badak, kuih ketayap, roti jala, mee goreng dan entah masakan apa lagi yang saya sendiri sudah lupa. Selesai semuanya, bergandinganlah saya dan adik pergi menghantar menu ke rumah jiran sebelah. Seronoklah dapat berjalan walaupun dekat sahaja jaraknya.

 

Lebih seronok bila jiran-jiran membalas juadah itu. Ya Allah, mewahnya makanan berbuka kami. Dahulu, kami makan berasingan meja. Tak tahulah mengapa. Nenek lebih senang berbuka puasa di dapur sambil ditemani saya atau adik. Manakala yang lain berbuka di ruang tamu keluarga.

 

Mengikut pemerhatian saya, nenek ini pemerhati dan pemalu orangnya. Lebih suka mendahulukan orang lain makan dahulu dan dia makan kemudian.

 

Selepas berbuka, kami akan berjalan kaki menuju masjid kampung untuk berterawih. Seronok suasana malam yang meriah di jalanan. Yang perempuan bertelekung, yang lelaki berkain pelikat memenuhi masjid.

 

Masjid kampung juga meninggalkan banyak nostalgia. Menyaksikan perubahan fizikal masjid sedikit demi sedikit ditambah baik sehingga kini sangat selesa untuk para jemaah. Dahulu, saya dan adik akan menyusun selipar rapat-rapat dan disorok sedikit. Bimbang hilang. Maklumlah ratusan jemaah hadir untuk solat terawih.

 

Usai solat isyak berjemaah, imam memberi sedikit ruang kepada jemaah untuk menunaikan solat sunat dan mengambil rehat sekejap sebelum solat terawih dimulakan. Biasanya solat terawih akan tamat jam 9.30 malam atau lebih sedikit. Itu pun terasa panjang kerana imam tunaikan 20 rakaat dan membaca surah panjang. Hanya yang kuat tekad sahaja mampu habiskan 23 rakaat termasuk witir. Hehe.

 

Ada moreh disediakan tetapi saya dan adik akan balik dahulu memandangkan esoknya hari persekolahan. Jika banyak tenaga, kami berlari pulang sebab mahu cepat sampai rumah dan sambung makan. Manalah badan saya tak kurus sejak dahulu lagi. Kuat makan. Huhu.

 

Ada banyak kenangan ramadan. Semuanya sudah jauh ditinggalkan. Berbalam dalam ingatan. Yang mampu diimbas kembali itulah yang dicatatkan. Kini nenek sudah menjangkau usia 89 tahun. Masih sihat dan kuat ingatan. Alhamdulillah. Sudah berpuluh tahun juga tidak lagi beraksi di dapur. Namun ketajaman deria rasanya dan mengingat resipi masih hebat.

 

Ya Allah, berkatilah mak, ayah, nenek dan arwah atok yang banyak berkorban untuk kami. Ampunkan dosa mereka dan ditempatkan ke syurga-Mu. Amin.

 

 

Leave a Reply

Open chat