Risalah Malaysia Membaca

Terpaut dengan tajuk dan kulit depan buku membuatkan saya memiliki buku ini. 8 orang tokoh membaca berkongsi aspirasi dan pengalaman mereka tentang dunia buku. Mukaddimah oleh Dr Maszlee Malik sudah pun memberi impak positif kepada pembacaan. Mudah-mudahan hasrat menjadikan Malaysia “Negara Membaca 2030” akan tercapai. Begitulah yang diharapkan dengan permulaan pengiktirafan UNESCO kepada Kota Buku Dunia 2020 KL Baca – Caring Through Reading.

Saya berkongsi dapatan daripada 3 tokoh daripada buku ini :

 

Dr Maszlee Malik

 

Membahagikan peringkat membaca kepada tiga fasa.

 

Fasa pertama : Fasa Awal

 

Fasa ini bermula dari rumah. Ibu bapa sebagai tunggak utama menerap minat membaca dalam diri anak-anak. Melalui langkah-langkah ini diharap budaya membaca yang disemai mampu mendorong anak menjadi pencinta ilmu.

Kata kunci di sini ialah – penglibatan penuh ibu ayah dalam menyediakan suasana membaca di rumah disamping menyediakan perpustakaan mini supaya anak tidak takut dengan buku.

 

Fasa kedua 

 

Setelah anak mula minat membaca, ibu ayah berikan lebih dorongan dengan :

1) Mempelbagaikan bahan bacaan di rumah seperti buku, majalah, akhbar, jurnal dan selainnya.

2) Sentiasa menambah bahan bacaan supaya minat ingin tahu dalam keluarga sentiasa dinamik.

 

Fasa seterusnya

 

1) Berkongsi dengan orang lain apa yang kita baca.

2) Boleh sahaja ulas buku kegemaran di media sosial. Capaian kepada lebih ramai orang mampu menggalakkan orang ramai tahu apa yang kita baca. Mana tahu ia menjadikan mereka turut berminat membaca buku tersebut. Jadikan media sosial sebagai medium positif.

3) Bagi mahasiswa, acara bedah buku sangat baik dianjurkan. Memanggil penulis mengulas buku sendiri atau mengadakan wacana tentang buku.

4) Mahasiswa sendiri digalakkan membuat ulasan buku dan berkongsi idea kritis mereka tentang buku yang dibaca.

 

Dr Maszlee ada menyntuh tentang kegemarannya membaca buku HAMKA serta berkongsi 10 buah buku kegemaran beliau di dalam buku ini.

 

Nurul Izzah Anwar

 

Sangat tertarik dengan didikan yang diterima beliau adik-beradik. “Sepanjang kami membesar, kami diajar bahawa membaca itu perlu, penting dan wajib untuk kami.”

Beliau menyentuh golongan pendidik yang dilihat sangat sedikit mengamalkan budaya membaca, berkongsi isi bacaan dan menumpahkan fikiran daripada buku yang dibaca kepada anak murid.

Ini suatu galakan buat warga pendidik dalam menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar.

 

Tuan Zamri Mohamad

 

Beliau dikenali sebagai sifu penulisan dan sememangnya kaya dengan pengalaman menghasilkan karya bermutu. Pesan beliau buat penulis – Jangan suruh orang beli buku tetapi didik dahulu 3 perkara ini :

1) Memberitahu nilai

2) Mengetahui pembaca dan stamina pembaca

3) Maklum bahawa pembaca ada kuasa memilihnya sendiri

 

Penulis lain seperti Ustaz Hasrizal, Hilal Asyraf, Syed Azharul Asriq (penggemar sejarah), Hanapi Jamaludin dan Dr Zahrah Yunos masing-masing mempunyai buah fikiran yang bernas dan menyegarkan! Subhanallah. Semoga semuanya terus menyumbang penulisan bermutu buat tatapan masyarakat kita.

Mari aktifkan tagar #MalaysiaMembaca dan mewujudkan kesedaran.

Selesai buku ke-38 dalam misi membaca peribadi saya tahun ini.

#MisiMembaca2019

#MalaysiaMembaca

Terima kasih kerana memberi maklum balas :)

shares