Sains

Suatu hari dalam tempoh PDPR, abang ngah nak buat kerja rumah. “Umi, umi, umi…” Sampai risau atok dan nek umi di rumah agaknya. Semuanya gara-gara dia nak bertanya subjek Sains. Saya pula bukan duduk setempat. Kadang dalam tandas mengurus anak kecil, kadang di dapur sedang memasak.

Atok pun datang jengah dan ajarkan sekejap. Tak lama kemudian, datang nek umi ke meja belajar.

“Abang ngah, haiwan yang telinganya di luar macam kita ni, melahirkan anak. Selain itu, haiwan tu bertelur,” ajar nek umi.

Abang ngah pun menekur kepala melihat kertas latihan. “Haiwan ada telinga luar? Kuda, kambing, arnab. Ni semua melahirkan anak, kan? Haahlah nek umi!” Haha. Sendiri tanya, sendiri jawab. Nek umi dan atok kan memang guru sains dulu. Hee.

Teringat pula satu kenangan. Dulu-dulu balik sekolah rendah dengan ayah. Dalam pukul 2 petang kami akan ambil emak balik mengajar sebab emak pulang mengajar 2.05 petang. Jadi waktu tengahari begitu memang panas terik.

Ketika ayah sedang memandu, saya selalu lihat ada air di hadapan (jalan) tapi bila kami melalui kawasan itu, tak ada pula airnya. Pelik! Berhari-hari dalam kehairanan, akhirnya saya tanya juga ayah. “Mana hilangnya air tu, ayah?”

“Magic,” jawab ayah. Ringkas sahaja jawapannya. Ha? Saya lihat muka ayah bersahaja. Erk.. lalu saya diam sahajalah.

Ditakdirkan 5 – 6 tahun selepas itu, saya dapat belajar dalam aliran Sains. Subjek Fizik ada topik Miraj (mirage). Balik dari sekolah, terus saya serbu ayah. “Ayah, baru hari ni Yana tahu kenapa air kat jalan hilang!” Haha. Ayah ketawa sahaja. Agaknya tak menyangka yang saya masih ingat persoalan itu.

Ayah bukan tak tahu pasal Miraj, beliau sendiri aliran sains sejak sekolah menengah sampai ke kampus. Sabar sahajalah. “Nasib baik ada belajar dalam Fizik. Kalau tidak, sampai sudah tak tahu agaknya, ayah.” Haha.

Gitulah.

 

Aina Dayana Hilmi,

7 Februari 2022

Leave a Reply

Open chat