Salam perkenalan
Bismillahirrahmanirrahim.
Terima kasih buat kalian yang sudi berkunjung ke sini. Nama saya Aina Dayana binti Hilmi dan berasal dari Melaka. Boleh panggil Aina atau Yana. Beberapa tahun terakhir ini gemar menulis dan memilih medium blog sebagai cara berkongsi pengalaman, pemerhatian dan ulasan buku yang dibaca.
Kini bertugas sebagai guru Pendidikan Khas di sebuah sekolah khas di Melaka. Mempunyai kemahiran berbahasa isyarat kerana mengajar murid bermasalah pendengaran dan masih lagi mencari pengalaman dan menimba ilmu dalam bidang ini. Seronok mendidik mereka saban hari meskipun ada cabaran yang tidak terduga sehari-hari.
Jadual harian yang sibuk membuatkan saya memilih cara untuk mengurangkan tekanan. Seharusnya kita buat sesuatu yang kita minat, kan? Saya memilih untuk membaca buku, menulis dan mengajar anak-anak kecil mengaji al-Quran di kampung. Sungguh pun begitu, saya bukan seorang ustazah tetapi saya fikir dengan menawarkan khidmat sukarelawan begini, saya dapat mendidik hati supaya lebih lembut dan memberi sumbangan kepada masyarakat secara umum. Doakan saya ya.
Anak-anak yang banyak ragam pun memberi inspirasi kepada saya untuk menulis. Sambil-sambil mencatat, ada juga sesuatu untuk dikenang kemudian hari. Yalah, kita ini bersifat lupa. Pasti banyak yang akan hilang dari ingatan sekiranya tidak dirakamkan. Ada orang gemar mengambil gambar, merekod video, membuat Photo Book Dan seumpamanya. Saya pula jarang bergambar. Entahlah, rasa rendah diri agaknya 😅
Selain mengajar, saya juga seorang penulis pemula yang baru berjinak-jinak menghasilkan karya. Jemputlah dapatkan tulisan saya dalam buku-buku ini sekiranya berkesempatan :
1. Kertas-kertas Yang Merubah Fikir (2018) terbitan Jejak Tarbiah.
2. Kita Mesti Menang (2020) terbitan Akademi Daie Pena.
3. Nota Kasih (2021) terbitan Big M Resources.
4. Kisah Mengaji Dulu-dulu (2021) terbitan Akademi Daie Pena.
5. Lelaki Pawana Cinta (2021) terbitan Writer’s Write.
6. Dunia Tanpa Bunyi (2022) terbitan Akademi Daie Pena.
7. Pinang (2022) terbitan Kismy.
8. Antologi Guru Kiriman Tuhan (2022) terbitan SYFE.
Jemput juga berkunjung ke laman blog saya yang terdahulu seperti Blog Fitrah Homeschooling, Blog Tasneem Naturel Melaka, Blog ain.ya.nun.alif dan Blog Bintang Hati. Kesemuanya mempunyai soft spot dalam hati kerana menulis dalam fasa yang berbeza dalam kehidupan saya.
*Kemas kini pada 11 November 2022
Samalah kita menulis untuk merakam kenangan. Lama-lama nanti baca semula, jadi rindu. Sebagaimana Aina dapat inspirasi menulis daripada anak-anak, semoga yang membaca blog ini juga mendapat inspirasi daripada Aina untuk terus menulis. Keep it up!