Saya Suka Mengaji
Bila jadi mak, baru tahu ada pelbagai cara dan medium untuk ajar anak. Allah datangkan keinginan untuk membaca dan belajar ilmu lain. Jadi, lepas satu, satu minda terbuka menerima info baharu. Selain memberi tauladan kepada anak-anak seperti solat dan mengaji, saya guna kad imbas, carta dan buku cerita untuk menyemai minat membaca al-Quran.
Asas pendidikan anak-anak yang utama ialah akidah, akhlak dan diikuti ilmu lain. Sememangnya adablah satu pelajaran utama yang berlaku sepanjang hayat. Ia bukannya mudah, tetapi memerlukan segenap usaha dan sokongan dari semua pihak.
Buku Saya Suka Mengaji
Kita tidak tahu setakat mana kesabaran kita sehinggalah ada anak. Sekurang-kurangnya itu bagi saya secara peribadi. Adakalanya mudah sahaja nak naik angin. Tapi, saya lupa. Anak-anak ini masih kecil. Umpama kain putih yang mahu dicorakkan. Sudah pasti mahu cetak corak yang cantik, bukan?
Suka saya membaca buku ini apabila puan penulis mengingatkan akan tiga prinsip :
- Menelan kemarahan
Anak-anak yang masih kecil, apalah yang mereka tahu untuk fokus? Bila diajak mengaji al-Quran ada yang nampak tidak bersungguh. Sebenarnya bukan tidak minat tetapi keadaan anak mempengaruhi seperti usia, tempat belajar, kondisi pengudaraan, emosi dan lain-lain. Jadi mak dan ayah, perhatikan dahulu semua ini sebelum marah-marah.
- Menutup mata pada kesalahan anak. Sebaliknya fokus kepada yang betul sahaja.
Adatlah jika anak belum dapat mengecam kalimah dan mahir ayat yang dibaca. Kita pandu bacaan sehingga mereka dapat menyebut dengan betul. Berkata baik dan lemah-lembut terhadap anak yang belajar al-Quran.
- Tidak perlu membebel atau menjerit. Berikan panduan yang betul.
Ibu ayah rendahkan expectation sebelum ajar anak mengaji. Tarik nafas panjang bila terasa stres. Bercakap dengan nada perlahan dan tunjukkan cara yang betul. Jadikan sesi mengaji al-Quran momen yang menyeronokkan anak bila mereka mengenangnya suatu masa nanti.
Jemput baca ulasan buku ini di sini.
Kad Imbas Khadijah
Ada banyak kelebihan menggunakan kad imbas kepada anak-anak. Ibu ayah boleh buat carian dan pembacaan. Saya tidak berhasrat menyenaraikannya di sini.
Kami suka gunakan Kad Imbas Khadijah (KIK) kerana mengenalkan huruf tunggal hijaiyah sebelum diperkenalkan dengan huruf berbaris satu. Tambah lagi inovasi ikon mulut bayi semasa membacanya juga membantu anak-anak mengingat cara sebutan.
Bahagian hadapan kad tertera huruf hijaiyah dan gambar yang hampir menyamai huruf tersebut. Manakala bahagian belakang kad disertakan huruf berbaris satu. KIK juga sediakan lubang di penjuru kad. Memudahkan ibu ayah memasang klip kertas bagi mengelakkan kad bertaburan.
Tidak lupa, KIK ini datang dalam sebuah kotak dan buku panduan. Jadi, kita pun dapat idea bagaimana menggunakannya. Lebih seronok jika kita dapat buat permainan. Ada komunikasi dan interaksi bersama anak-anak.
Poster Hijaiyah Saya Suka Mengaji
Poster ini didatangkan dalam bekas silinder. Packaging yang menarik sebab poster terdiri daripada helaian kertas yang nipis dan mudah terkoyak. Kami tampalkan poster ini pada dinding yang mudah dilihat oleh anak. Sambil-sambil lalu di bahagian itu, kami sebutkan dan tunjuk kepada anak-anak. Lama-kelamaan mereka boleh mengecam huruf dan menyebut dengan baik.
Selain bahan bantu belajar yang disebutkan di atas, sesekali kami pasang video mengenal hijaiyah yang ada di YouTube. Boleh juga cari idea melalui Pinterest dan laman web yang banyak di enjin carian Google dan seumpamanya. Selamat beraktiviti!
Berminat untuk tahu lebih lanjut tentang BBB di atas, boleh klik sini :
Jumpa lagi.