Sejarah
Mata pelajaran sejarah menjadi subjek kegemaran semasa di sekolah menengah. Ia antara subjek skor dalam peperiksaan. Cuma bahan bacaan tambahan saya jarang dapatkan kecuali meminjam dari perpustakaan. Fiksyen sejarah sahaja yang banyak dalam ingatan. Sudah pasti tulisan Faisal Tehrani melintas di kepala. Bermula dengan 1515 dan Nama Beta Sultan Alauddin. Karya Pak Latip di awal keluaran semua sudah dibaca. Tapi kini semuanya tidak lagi saya ikuti.
Semasa di tingkatan dua, pernah mendapat hadiah semasa hari kecemerlangan sekolah. Hadiahnya ialah sebuah novel sejarah yang mengangkat seorang tokoh kemerdekaan. Tajuknya telah saya lupa tetapi mesej dari novel itu meninggalkan kesan kepada budak sekolah menengah yang biasa-biasa seperti saya.
Menyelami penderitaan yang dialami oleh penduduk Tanah Melayu yang diseksa penjajah membuatkan semangat belajar membuak-buak. Saya sedar, apalah sangat kesusahan yang saya alami ketika belajar dibandingkan dengan usaha penduduk dahulu mempertahankan keselamatan diri, agama dan negara.
Semasa Kak Noor Suraya mengumumkan Jemari Seni akan ditutup, jualan penghabisan stok mereka ada terselit buku Hikayat Hang Tuah. Tanpa melepaskan peluang buku itu disambar untuk bacaan anak-anak (sedangkan waktu itu anak saya masih bayi lagi). Saya percaya buku yang baik tidak harus disia-siakan. Allah izinkan beberapa tahun selepas itu, memang anak-anak menekuni Hikayat Hang Tuah itu dari kulit ke kulit. Masya-Allah. Apatah lagi PKP mengambil tempat. Lebih 3 bulan terperap di rumah, alhamdulillah ada bahan bacaan di rumah.
Aina Dayana Hilmi
13 Julai 2022