Sekolah pertama
Sebagai seorang anak sulung yang jarang keluar rumah semasa kecil. Dunia aku hanya sekitar ahli keluarga sahaja. Tatkala ayah membuat keputusan untuk memasukkan aku ke sekolah. Aku hanya menurut tanpa membantah. Dalam fikiran hanya terbayang buku, pensel, baju sekolah dan beg sekolah. Tiada gambaran suasana sekolah kerana aku pun tidak pernah bersekolah tadika.
Kereta melintasi pintu gerbang SRK Merlimau (1) dengan perasaan teruja seorang anak kecil. Sekolah ini besar. Kereta diletak di “parking” guru di sebelah kiri sekolah. Ada sebatang anak sungai Merlimau yang dibatasi dengan tebing dan pagar sekolah. Di sebelah kanan terletaknya deretan bangunan kelas Tahap 1. Ada juga sedikit ruang untuk astaka dan taman permainan.
Murid perempuan suka bermain teng-teng di astaka. Mungkin pekerja sekolah yang membuatkan garisan itu. Murid lelaki pula suka memanjat tiang dan bermain kejar-kejar. Seronok benar. Waktu rehat yang singkat itu seperti dunia ini kami yang punya. Meriah!
Aina Dayana Hilmi
2 Oktober 2022