Siang ikan.. pertama kali?

Masakan

 

“Cuci dahulu ikan tu,” pesan nenek. Pili air kubuka. Badan ikan digosok-gosok. Darah pada bahagian mulutnya aku cuci bersih-bersih. Dalam masa yang sama nenek ligat membuat kerja rumah. “Gunting mulutnya dan sini. Lepas itu buat macam ini,” arah nenek. Aku terpaksa memerhati betul-betul. Nenek jenis orang yang tak pandai nak mengajar jadi kita perlu peka dengan apa yang ditunjuknya.

‘Oh, macam tu,” desisku di dalam hati. Berpeluh-peluh aku nak menyiang seekor ikan. Seekor sahaja pun. Bukannya berpuluh ekor. Aduhai. Kugunting sirip, buang organ dalaman, buang insang, kelar sedikit perutnya, selesai. Kutunjuk kepada nenek. Nek senyum lebar. Bukan sebab suka, tetapi lebih kepada ‘Alahai, cucu aku ni.” Agaknya begitulah apabila aku melihat ekspresi mukanya.

“Bolehlah ni, ada rupa ikan lagi.” Bulat mata aku mendengar gurauan nenek. Haha. Tapi aku berterima kasih dengan nenek sebab sangat sabar melayan pertanyaan dan menunjuk ajar kepadaku cara memasak. Kegemaran di rumah ini sudah semestinya asam pedas dan sambal tumis. Sesuatu yang tak sanggup aku buat dahulu kerana perlu bersabar menunggu lama. Tapi kini, itulah masakan yang dimahiri sekarang.

 

Aina Dayana Hilmi,

8 Oktober 2022

Leave a Reply

Open chat