Sikat Perut
“Abang ngah, dah dekat pukul 7.” Dari dapur saya sudah ingatkan anak bujang ini. Ingatkan sudah bersiap, rupanya rambut pun belum sikat.
“Abang ngah sikatlah rambut bagi kemas dan handsome. Nabi pun suka ber’hensem-hensem’,” pujuk abinya pula. Eloklah dia dengar kata. Nampak abang ngah dan abang uda merapikan rambut di hadapan cermin.
“Abang ngah nak tahu? Bukan rambut je kena sikat, perut kita pun kena sikat,” sengaja buka cerita untuk tarik minat mereka. Anak-anak memang suka dengar cerita, kan?
“Perut ada sikat? Macam mana tu?” Masing-masing rasa pelik. Umi ni pun tak tahu juga pasal sikat perut sebelum ini 😌 “Dalam perut kita ada usus. Satu usus kecil, satu usus besar. Makanan yang kita makan akan masuk ke dalam perut. Ususlah yang proses makanan.
Proses tu maknanya makanan kita dilumatkan, ditapis dan dibuang. Yang diserap, akan jadi tenaga. Yang dibuang akan jadi najis. Jadi pada dinding usus pasti ada sisa-sisa kotoran. Sebab itu kena ada sikat untuk bersihkannya,” sambung saya.
“Sikat perut ialah buah-buahan kerana buah banyak serat. Ia akan bersihkan dinding usus. Sebab itu kita digalakkan makan buah-buahan. Hebat kan Allah? Kita makan buah sebab sedap, manis, lembut. Rupa-rupanya ada banyak faedah lain,” anak-anak menganggukkan kepala.
“Mana Umi tahu?” Abang ngah bertanya. “Umi baca buku abang ngah. Dunia Sains Aiman,” kata saya sambil ketawa. Buku budak-budak pun ada ilmu baharu. Nak pujuk anak sikat rambut sahaja awalnya tadi. Panjang lebar pula bercerita ya😅
Jumpa lagi.
* Gambar pokok langsat di hadapan rumah kami.
Aina Dayana Hilmi
7 Februari 2022