Tabiat membaca
Sebut tentang tabiat membaca ini, saya teringatkan Prof Dr Sidek Baba. Katanya, tabiat membaca seperti makan nasi. Jika tak makan dalam sehari, rasa tidak lengkap. Oleh itu, membaca dapat memberi nilai tambah kepada kehidupan seharian. Alhamdulillah, dari kecil ayah dan mak banyak menggalakkan kami membaca dengan menyediakan bahan bacaan yang menarik.
Tabiat membaca saya mungkin berubah-ubah mengikut fasa umur. Pernah saya tidak membaca bertahun-tahun. Jangka masa yang lama sejak sekolah menengah sehingga memasuki pra-universiti. Hanya fokus kepada membaca buku akademik. Hanya apabila memasuki maktab perguruan, minat membaca timbul semula. Waktu itu, akses kepada bahan bacaan sangat mudah didapati.
Setelah berkahwin, fasa memiliki bayi dan anak kecil sangat menguji diri. Saya suka membaca tetapi saya sedar ada tanggungjawab lain perlu dilunasi terlebih dahulu. Maka, selepas menyelesaikan kerja rumah, menyusu anak entah berapa pusingan dan di penghujung hari, tenaga seperti sudah habis. Tidak boleh tidak, saya perlu urus masa dengan lebih baik untuk ada masa membaca.
Lalu bagaimana saya mencari masa untuk membaca pada waktu yang sibuk sekarang ini?
– Dalam sehari pasti ada waktu kecederaan / senggang. Biarpun 5 – 10 minit saya akan capai buku untuk dibaca.
– Yang paling biasa saya buat ialah membaca selepas semua orang tidur. Tapi tabiat ini sedikit demi sedikit saya ubah kerana tidur lewat tidak baik untuk kesihatan. Maklum sahajalah, bila baca buku yang best, boleh terlajak beberapa jam membaca di tengah malam!
– Membuat ‘we time’ iaitu membaca bersama anak-anak. Selepas bacakan cerita untuk anak kecil, saya minta masa untuk baca buku saya sambil semua anak buat aktiviti yang sama. Walaupun ada anak kecil yang merengek tapi dengan kerjasama anak-anak yang lebih besar, ada sedikit peluang untuk umi mereka ini membaca.
Mencatat nota
Ini satu aktiviti yang sudah jarang saya dapat lakukan. Biasanya semasa membaca, ada sebuah buku nota dan sebatang pen di tangan. Mana-mana bahagian yang menarik, saya akan catatkan supaya tidak lupa. Lagi pula membantu apabila mahu menulis ulasan buku. Tapi selepas enam orang anak ini, anda fikir saya sempat untuk fokus anotasi buku? Memang tidaklah jawapannya. Haha.
Jadi saya dapatkan sticky note yang dibeli dari Kedai Eco dan tampalkan pada buku. Ada masa saya akan buka dan catat, ada masa memang tinggal begitu sahaja. Apa pun saya jarang menconteng buku sendiri. Selain sayang nak menggaris di situ, buku ini boleh diberi kepada orang lain jika berkenaan.
Anda pula bagaimana?
Aina Dayana Hilmi
2 November 2022