Tarik Minat Anak Kecil Mengaji

Anak-anak di usia 0 hingga 6 tahun mengalami perkembangan minda yang sangat pesat sehingga digelar masa emas (Golden Age). Pada waktu inilah sangat sesuai diterapkan pendidikan Akidah, penekanan kepada akhlak Islami dan sifat kendiri yang positif. Tidak dinafikan juga kemampuan menyerap apa jua yang dilihat, didengar dan dirasa sangat menakjubkan. Sebagai ibu ayah, peranan kita mencorakkan anak-anak seperti mana yang terkandung dalam sabda Baginda Sollallahu Alaihi Wasallam :

 

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:
“Setiap bayi yang dilahirkan adalah suci fitrahnya. Ibubapalah yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani mahupun Majusi.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sepanjang membesarkan empat orang anak ini, ada pelbagai kaedah dan teknik yang kami gunakan bagi mendidik anak mencintai dan mengenal al-Quran. Kami bukanlah yang terbaik untuk berkongsi tetapi berharap agar ia sedikit sebanyak memberi idea kepada ibu ayah lain dalam memupuk minat cintakan al-Quran kepada anak-anak.

Trik dan permainan ini tidaklah kami khususkan kepada umur tertentu kerana tahap setiap anak adalah berbeza. Boleh sahaja cuba jaya dan ubahsuai mana yang berkenaan.

Tip Ajar Anak Membaca

 

1. Niat kerana Allah.

Betulkan niat supaya kita tidak tersasar meletakkan expectation yang tinggi terhadap anak-anak. Yakinlah hanya Allah sahaja yang memegang hati anak-anak kita dan bukan kita yang menyebabkan mereka pandai.

 

2. Pilih lokasi yang sesuai.

Seeloknya sediakan ruang belajar yang khusus. Jauhi gajet yang melekakan seperti telefon pintar, tablet, televisyen, radio hatta permainan. Duduk di tempat yang anak dan ibu ayah suka untuk beraktiviti. Pastikan juga pengudaraan yang kondusif dan selesa.

 

3. Setiap sesi tidak melebihi 30 minit.

Bagi anak kecil, daya tumpuan mereka sangat pendek. Jadi ibu ayah jangan pula stress bila anak tak mahu duduk diam. Dah memang fitrahnya begitu. Hehe. Cukuplah sekadar 15 minit bagi setiap sesi pembelajaran. Ibu ayah buat secara santai sambil berbual, bergelak ketawa dan memberi penerangan yang jelas.

 

4. Tidak memaksa anak.

Aha, ini memang perlu kita ingatkan diri sendiri.

i) Rendahkan expectation sesuai dengan umur dan kemampuan anak.

ii) Tunjuk, bukan marah.

iii) Peluk bukan pukul.

 

5. Murah dengan pujian.

Ganjaran ada dua bentuk.

Satu, berbentuk material.

“Abang dapat habiskan tulis huruf A ni, mama bagi makan aiskrim.”

 

Kedua, berbentuk non-material.

Tepuk tangan, high five, sorakan, dan pujian termasuk dalam kategori ini.

Ianya percuma tetapi ramai antara kita sering terlepas pandang. Lepas ini, kita cuba ye?

 

6. Bantu dengan bahan bantu belajar.

Jika anak jenis visual, ibu ayah bantulah dengan lukisan, gambar, carta, peta atau video.

Bagi anak jenis kinestetik, masukkan elemen pergerakan, melompat, berlari, merangkak dan selainnya.

Bagi anak jenis auditori, gunakan kekuatan pendengarannya dengan memperdengarkan audio, sering berbual dan menggalakkannya bercerita.

 

7. Sediakan rekod catatan perkembangan.

Mengambil contoh tokoh Hassan Al-Banna yang menyimpan maklumat setiap anak dengan terperinci dalam sebuah fail merupakan satu langkah bijak. Beliau menyimpan catatan perkembangan anak dari kecil, rekod perubatan, kemajuan pelajaran dan sebagainya. Jadi dengan rekod, kita dapat memantau tahap penguasaan anak serta potensi yang boleh digilap pada mereka.

 

10 Trik dan Permainan Ajar Anak Kecil Mengaji

buku.png

  1. Menampal huruf hijaiyah tunggal atau berbaris di dalam buku dan pada mainan kegemaran anak

Sambil kita bacakan anak buku, selitkan sekali huruf-huruf hijaiyah ini. Saya aplikasikan teknik ini sejak 2013, anak lelaki yang nombor dua. Hingga kini (2019) buku dan huruf ini masih kekal cantik.

blok.png

  1. Membuat permainan sendiri.

Contohnya ialah permainan blok (ambil kadbod dari kotak terpakai dan bentukkan seperti sebuah dadu. Tampalkan huruf hijaiyah.

Kedua, gunakan botol mineral terpakai, sarungkan dengan kertas warna dan tuliskan beberapa huruf. Minta anak pusingkan kertas sehingga jumpa huruf yang sepadan dalam 1 barisan.

Ketiga, membuat I Spy Bottle. Saya gunakan botol mineral, beras dan magnetic huruf hijaiyah serta sediakan sebuah kertas untuk anak tanda apabila mereka terjumpa huruf tersebut di dalam botol. Ini kaedah sensory.

bercerita.png

  1. Kaedah Bercerita

Ini paling digemari anak-anak! Sambil bercerita, ibu ayah boleh sediakan sedikit bahan sebagai props atau jadikan ia sebagai satu bentuk pertandingan hide and seek, treasure hunt dan sebagainya!

  1. Mengenalkan huruf hijaiyah dengan bunyi berima

Perkenalkan huruf dan kaitkan dengan benda di sekelilingnya. Contoh :

ا – abi

ب – baju

ت – tatata (bunyi menembak)

ج – jari atau janggut abi

ح- ha pedas (tunjuk seperti kepedasan)

د – dada

م – mata

mewarna.png

  1. Mewarna

Ikut tahap anak ya. Semakin rendah umurnya, semakin kecil gambar yang kita berikan. Dalam gambar di atas ini, memang diminta oleh anak tetapi sebenarnya tidak begitu efisyen untuk anak kecil di bawah 4 tahun sebab gambarnya besar dan banyak details. Tapi anak enjoy sahaja, layankanlah. Hihi.

Nak tak template mewarna huruf hijaiyah tu? Klik sini tau. Semoga bermanfaat! Saya kreditkan kepada rakan saya, Cikgu Noorhayati Abdul Rahim yang gigih membina lembaran kerja ini.

mengaji pakai kad whiteboard.png

  1. Menulis atas kad tulis padam (whiteboard).

Adakalanya saya tulis di cermin meja solek. Lepas tulis, bimbing anak sebut perkataan dan minta dia padam. Seronoklah dia! Memang ada satu masa habit pula dia nak memadam semua tulisan. Huhu. Saya ambil kalimah dari Iqra’ At-Taisir bahagian 2. Kaedah ini agak lama bertahan kerana anak mungkin anggap dia sedang bermain padam-padam.

huruf kasrah 1.png

  1. Permainan padankan

Saya gunakan cawan kecil yang dapat percuma jika di pasaraya buat demo minuman yogurt dan seumpamanya. Waktu itu saya dapat banyak – berplastik-plastik, ada kawan beri. Seronok sungguh! Heheh. Waktu ini, tiba masa memperkenalkan huruf berbaris bawah kepada anak. Tuliskan pada kadbod dan belakang cawan, minta anak padankan. Ia mengambil masa sebenarnya. Lagi-lagi apabila anak perlu menyebut dengan betul dan mengecamnya.

hijaiyah1.png

  1. Memory Card Game

Ini juga satu bentuk permainan padankan. Saya guna kotak terpakai sahaja. Tulis pun pakai pen marker. Boleh pelbagaikan cara seperti reka dan cetak cantik-cantik.

hijaiyah4.png

  1. Jigsaw puzzle

Boleh buat pelbagai cara. Masa ini anak baru berumur 2 tahun. Jadi sekeping kad saya potong kepada dua bahagian sahaja. Pandu anak cantum huruf yang betul. Begitulah sehingga tamat permainan.

Ini berkesan kepada anak jenis visual.

alif.png

  1. Kraf bertema hijaiyah.

Ini bahagian paling saya gemari!

i) Senaraikan huruf hijaiyah tunggal

ii) Cari kraf berkaitan mengikut tahap anak (umur dan kemampuan membuat)

iii) Compile dalam sebuah fail sebagai koleksi seni anak-anak.

Bahagian ini bahagian yang panjang. Boleh jadi satu silibus pembelajaran dan pengajaran anak di rumah untuk satu penggal. Ibu ayah rancang dahulu seperti ini :

a) Pembelajaran bertema harian atau mingguan.

b) Sediakan bahan bantu belajar (BBB) dan bahan bantu mengajar (BBM)

c) Tulis objektif, langkah demi langkah dan refleksi.

Sukar? Tidak sehingga anda laksanakan. Cubalah!

Terima kasih kerana memberi maklum balas :)

shares