Tebang vs Terbang

Sedar tak sedar sudah lebih sepuluh tahun saya membantu kelas mengaji di kampung. Saya bukan ustazah, jauh lagi lulusan dalam bidang ini. Asbab menjadi menantu ustazah, Allah lorongkan saya di jalan ini. Ia bermula sejak saya berkahwin tahun 2009. Selepas mak mertua jatuh sakit (strok) tahun 2010, kelasnya diambil alih oleh anak-anaknya.

Tipulah jika saya katakan tidak letih atau tidak malas. Pasti ada bertandang rasa itu sesekali, namun perasaan itu hilang tatkala berhadapan dengan anak-anak ini di kelas. Seronok ajar mengaji dengan anak-anak kecil. Hati bersih.

Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kelas mengaji kami adaembuat kelas fardu ain setiap hari Jumaat malm Sabtu. Anak-anak ini akan membawa sebuah buku tulis dan alat tulis. Kehadiran yang mencecah 50 – 60 orang membuatkan para guru harus bijak mengawal kelas.

Biasanya saya beregu dengan suami. Beliau mengajar anak-anak berusia 9 tahun ke atas manakala saya mengambil alih anak-anak berusia 8 tahun dan ke bawah. Meriah! Lagi pula sekitar tahun 2018-2019, merekalah paling ramai tika itu.

Minggu itu kami berkumpul di dalam perpustakaan mini Darul Sunnah. Aktiviti ‘read aloud’ mendapat sambutan yang menggalakkan. Ada juga yang sukarela membacakan cerita di hadapan kelas. Buku besar Apa Yang Bergerak oleh Alia Nina dan ilustrasi oleh Pn Emila Yusof menarik perhatian mereka.

Sambil bercerita, sambil mengaitkan dengan kekuasaan Allah.

+ Apa yang bergerak? (Sambil tunjuk gambar)
– Layang-layang.
+ Betul. Siapa yang menggerakkan layang-layang?
– Allah.
+ Masya-Allah pandai. Siapa yang cipta angin?
– Allah! Semangat mereka menjawabnya.
+ Ya, tepat sekali! Allah sahaja berkuasa menciptakan angin yang meniup layang-layang ini.

Aktiviti seterusnya, kami main teka lakonan kata kerja. Ada seorang kawan mereka ke hadapan kelas, membaca arahan pada kertas dan lakonkan. Riuh-rendah! Mujurlah kelas berasingan dengan kumpulan kakak abang.

Ada satu soalan yang tak mampu mereka buat dan jawab. Perkataan ‘tebang’. Kebanyakan mereka melakonkan aksi pokok terbang!. Aduhai, tepuk dahi cikgu. Haha.

Pulang dari kelas, saya bermuhasabah diri :

– Anak-anak ini berani mencuba. Tak takut jika buat salah. Berani bercerita di hadapan kelas. Harus diberi pujian 👍
– Tiada rakan yang mengejek rakan yang berbuat silap. Malah sama-sama membetulkan.
– Hampir semua menjawab Allah yang menciptakan sesuatu. Bermakna sudah ada asas akidah dalam diri anak-anak ini.

“Ya Allah, berilah kefahaman kepqdanya dalam urusan Agama dan ajarkannya takwil (tafsir al-Quran).”

– Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

“Ustazah, minggu depan nak belajar apa?”
Ayat paling popular selepas habis kelas. Baru je tamat kelas dah tanya soalan ini 🤭

Aina Dayana Hilmi,
5 Februari 2022

Leave a Reply

Open chat