Temu Santai #1 Goodreads Malaysia
Beberapa hari sebelum program, Kak Nor Azzah Momin, moderator Goodreads Malaysia menghubungi saya berkenaan Temu Santai pertama secara maya tahun ini. Walaupun ada rasa debar di hati memandangkan ini kali pertama saya bersiaran langsung saya terima pelawaan ini kerana ingin menimba pengalaman dan mengenali dua lagi panelis. Berikut ialah senarai Liga Buku Goodreads Malaysia yang dianjurkan pada tahun lalu :
Gembira dapat mendengar butir bicara dari Pn Catherine Lai dan Pn Tina Isaacs. Sedikit latar belakang mereka :
Pn Catherine Lai merupakan seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala Pn Tina Isaacs seorang peguam yang bekerja di firma sendiri. Beliau juga seorang penulis, penyanyi dan pelakon. Profesyen yang sibuk tetapi mereka mampu membaca lebih dari 100 buah buku setahun. Apa rahsianya? Mari kita lihat.
Suka dengan penyampaian beliau yang tersusun. Nampak kesungguhan semasa membuat perkongsian. Apa yang saya dapati :
- Beliau sangat minat membaca. Boleh membaca bila-bila masa dan keadaan.
- Membaca pelbagai jenis medium iaitu buku fizikal, e-buku dan audio book. Ini suatu perkara baru bagi saya kerana saya lebih berfokus kepada buku fizikal dan e-buku.
- Kurang menonton televisyen. Jika menonton pun hanya memilih cerita tertentu sahaja.
- Menyertai kelab buku. Ini satu motivasi yang melonjakkan minat membaca beliau. Adanya kawan berbual dan berkongsi ulasan buku, menjadikan minda lebih terbuka luas akan kelebihan-kelebihan buku yang ada.
- Mengekalkan motivasi membaca buku bukan fiksyen :
- Beri peluang membaca 50 muka surat pertama.
- Sekiranya tidak mampu teruskan, tukarlah kepada buku lain.
- Boleh bermula dengan isu yang lebih ringan seperti travelog.
Perkongsian yang berisi dan segar. “Membaca dengan rakus.” Tergelak apabila terdengar ayat ini keluar dari mulutnya. Memang tepat menggambarkan beliau yang telah membaca 322 buah buku pada tahun 2020.
- Beliau juga sangat minat membaca. Semasa kecil mereka sekeluarga pernah tinggal di luar negara asbab ibu atau ayahnya melanjutkan pelajaran, mencari hobi yang “murah” adalah alternatif terbaik untuk anak-anak kecil yang bertenaga seperti mereka. Ada sebuah perpustakaan yang terletak berhampiran dengan rumah, dan dari situlah Pn Tina jatuh cinta dan terdorong untuk membaca buku sebanyaknya. Agaknya terasa bahagia dikelilingi banyak bahan bacaan, kan?
- Tidak menonton televisyen. Buku lebih mempunyai tarikan berbanding benda lain.
- Membaca buku bersiri antara motivasi beliau membaca dengan banyak dan “laju” pada pandangan saya. Betul juga, kan. Lepas habis satu siri, mesti nak tahu kisah sambungannya.
“Macam movie yang tertayang dalam kepala,” kata Pn Tina. Haha, memahami perasaan itu. Mesti meronta-ronta mahu tahu penamatnya.
- Seorang yang insomnia. Menggunakan “kelebihan” itu untuk fokus membaca waktu malam. Adakalanya bukan setakat 3, 4 jam membaca, tetapi boleh terlajak hingga ke subuh. Ya Allah, ini benar-benar hantu buku! Kih..kih..
- Platform buku audio :
+ Audible
+ Scribd
+ PNM Overdrive
+ Librivox
+ Anyplay
+ Spotify
+ YouTube
+ Google Books
- Memilih buku fiksyen sebagai genre kegemaran kerana ianya lebih ringan dan mudah dibaca. Lagipun dengan kedudukan beliau sebagai penulis dan artis, pasti memerlukan idea yang banyak sebelum membuat manuskrip.
- Menubuhkan kelab buku. Banyak aktiviti boleh dianjurkan dan keterlibatan dalam semua aktiviti meningkatkan motivasi untuk membaca. Saya tertarik dengan idea kelab yang memilih buku untuk dijadikan bacaan bersama-sama.
Sebagai surirumah, saya lebih banyak masa berada di rumah. Maka saya mencari satu aktiviti lain yang boleh membantu menstabilkan mood saya serta menjadikan saya seorang yang lebih baik setiap hari. Saya tiada masa khusus untuk membaca dalam sehari kerana saya yakin adanya masa “kecederaan” yang boleh saya gunakan untuk membaca. Misalnya pada waktu pagi ketika bayi tidur, waktu tengahari ketika anak-anak tidur tengahari dan waktu malam selepas semua orang tidur.
Semasa anak kecil, aktiviti membaca lebih kepada read aloud bersama mereka. Apabila anak-anak semakin membesar (ada yang sudah masuk ke sekolah), saya wujudkan “we time” iaitu waktu membaca bersama. Anak-anak membaca buku masing-masing dan saya membaca buku saya. Jika ada anak kecil (bayi), maka kakak abang berperanan bacakan adik buku sebentar.
Genre bacaan saya lebih kepada buku agama, motivasi, keibubapaan dan buku fiksyen awal remaja dan kanak-kanak. Mengapa saya memilih membaca buku kanak-kanak? Kerana saya ada pengalaman tidak seronok semasa kecil.
Ketika umur 7 atau 8 tahun saya terbaca novel cinta yang tidak patuh syariah. Banyak adegan yang tidak elok “terpapar” melalui buku itu. Jadi saya tidak mahu perkara ini terjadi kepada anak-anak saya. Boleh dikatakan hampir semua buku anak, saya telah tahu isi kandungannya sebelum mereka baca.
Kelebihan mengajar mengaji al-Quran, membolehkan saya berjumpa anak-anak kampung pelbagai peringkat umur. Dalam usaha memupuk minat membaca, saya cuba mempelbagaikan aktiviti perbukuan supaya mereka terbiasa dengan buku. Wujudnya sudut bacaan dan penganjuran playgroup menyaksikan sambutan yang baik.
Bagi saya, mengekalkan motivasi membaca dengan :
- Bacalah apa yang kita suka baca.
- Jangan paksa baca apa yang kita tak suka dan tak mampu nak habiskan.
- Segera beralih ke buku lain sekiranya buku yang dibaca tidak menarik perhatian.
- Hidup kita singkat, jadi gunakan dengan baca bacaan yang bermanfaat dan seronok buat kita.
- Membaca sebagai terapi.
- Membaca dengan niat untuk berkongsi dengan orang lain apa yang telah dibaca.
Terima kasih Goodreads Malaysia – Kak Nor Azzah Momin, Kak Najibah A. Bakar, Kak Saniah, para penulis Kertas-kertas Yang Merubah Fikir, kawan-kawan penggemar buku yang sempat bersama dalam sesi sejam setengah semalam. Sangat gembira dapat bertemu walaupun tidak dapat berkenalan dengan semua. Tidak ketinggalan Pn Nisah Haron, penulis prolifik yang sempat mengikuti pertemuan ini walaupun sedang memandu Grab.
Anda semua hebat!