Terusir oleh Hamka
Dalam banyaknya karya Buya Hamka, ternyata yang ini mengesankan sekali bagi saya. Tanpa sedar air mata turun semasa membaca buku ini. Susunan katanya elok dan mesejnya sampai ke hati.
Meski nipis bukunya, namun derita emosi watak utamanya turut sama mengheret pembaca menghayati.
Mariah, seorang perempuan yang baik dan isteri yang setia. Namun, dek sikap terburu-buru si suami yang percaya akan fitnah isterinya berselingkuh, terus menghalau isteri keluar dari rumah. Bayangkan tanpa sempat membuat pembelaan diri, tanpa sempat memeluk si kecil mengucap selamat tinggal, tidak dapat mengambil barang peribadi, terus sahaja keluar sehelai sepinggang.
Kejam sungguh suaminya. Sudahlah tengah malam, ke mana lagi mahu dibawa diri. Sungguh tak berfikir waras sang suami. Isterinya itu hidup yatim piatu, tiada lagi ibu dan ayah. Ketakutan, kesedihan dan kesempitan.
Pelbagai tempat dan kerja dibuat. Selepas majikan terakhir terpaksa pulang ke negara asal, Mariah berkahwin dengan seorang pekerja lelaki yang sama bertugas dengannya sebelum ini. Rupanya lelaki itu pun jahat, tidak membimbingnya ke arah yang baik. Malah, sibuk berfoya-foya di luar dan menghabiskan barang kemas Mariah.
Selepas berpisah, akhirnya Mariah terpaksa terjerumus ke kancah pelacuran. Tiada lagi surat mohon maafnya kepada bekas suami pertama setelah berpucuk-pucuk tidak dibalas. Entah berputus asa, kecewa atau dendam, Mariah tidak lagi ingin menghubunginya. Namun doa tidak putus buat anak lelakinya.
Selang beberapa tahun, anaknya berjaya di dalam pelajaran dan menjadi peguam terkenal. Akan berkahwin dengan seorang perempuan dari keluarga yang baik-baik. Mariah rasa bersyukur walaupun keinginan mendalam mahu bertemu anaknya.
Sehinggalah suatu hari beliau terdengar pertengkaran kecil di rumah pelacuran menyebut-nyebut nama anaknya. Rupanya ada orang mahu berbuat jahat lalu dibela oleh Mariah. Tikaman mematikan orang jahat itu dan dengan tenang Mariah menyerah diri kepada pihak berkuasa.
Siapa sangka anaknya itu menjadi peguam belanya sendiri. Kisah selanjutnya lebih meruntun emosi. Kuatnya semangat seorang ibu.
Apa yang saya pelajari ialah :
1. Jangan terus menghukum sebaliknya siasat terlebih dahulu apa jua berita yang diterima. Sama ada penyampainya orang terdekat dengan kita mahu pun orang lain.
Dosa memfitnah itu sangat besar.
2. Berani kerana benar nampak mudah dikata tetapi berat sekali pelaksanaannya. Hanya yang benar-benar teguh pendirian mampu berhadapan cabaran berkata benar.
3. Berjiwa besar membantu orang lain yang dalam kesusahan. Ia menjadi rahmat kepada orang yang dibantu. Bukankah jika kita memudahkan urusan orang lain, Allah akan mudahkan urusan kita?
Jemput dapatkan buku ini. Pasti ada pelajaran yang dapat pembaca ambil. Selamat membaca.
Buku 4/2022
Aina Dayana Hilmi
16 Januari 2022
Buku yang ini belum lagi jumpa dan baca.. Tapi buku Hamka yang lain pun sangat meruntun emosi dan tak boleh elak dari menangis 2 hari 2 malam ๐
Terima kasih ulasannya. InsyaAllah akan cari nanti๐ท
Akak baru bertatih baca karya Hamka. Banyak lagi nak explore ๐