Ulasan buku : Dunia Sains Aiman (Demam F1)

Screenshot_2019-09-29-08-51-24-53.jpg

Terasa kagum dengan Aiman yang mahir dengan perlumbaan Formula Satu (F1) dan segala perkara berkaitan dengannya. Bermula dari struktur kereta F1, pemilihan pemandunya, pembinaan litar, syarat pertandingan sehinggalah pembikinan di sebalik kejohanan ini berlangsung. Aiman sangat meminati sains dan dunia permotoran.

Pembacaannya mengenai suka F1 benar-benar memberi manfaat. Kawan-kawan sangat suka mendengar penerangan Aiman kerana jelas dan mudah difahami. Aiman berkawan rapat dengan Ying Chun, Valentina dan Ivan selain adiknya Azfar. Aiman hanya mampu melihat sahaja iklan perlumbaan F1 akan diadakan. Untuk pergi menyaksikannya bagaikan mustahil kerana bayaran masuk sangat mahal. Aiman tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu.

Dalam masa yang sama, sepupu Ying Chun bernama William datang menziarahinya. William ialah anak seorang jutawan emas dan mereka semua sudah pernah bercuti ke rumahnya semasa cuti sekolah yang lalu. Satu perkara menarik berlaku semasa mereka bercuti bersama William (akan saya ulas dalam entri yang lain insya Allah).

Rezeki Aiman dan kawan-kawan apabila William menaja mereka semua menyaksikan sukan beprestij itu dengan tiket Grand Stand! Bermakna mereka dapat duduk hampir dengan litar dan dapat menyaksikan dengan mata kepala sendiri.

Pembinaan kereta F1 mengambil kira kadar kelajuan, keselamatan pemandu, kedudukan litar dan selainnya. Kos untuk membuat kereta sahaja mencecah jutaan ringgit. Belum termasuk bilangan pasukan yang membentuk sesebuah kereta F1 yang hebat.

Istilah baru

Saya baru ketahui beberapa istilah yang berkaitan dengan Formula Satu ini :

1) Monocoque : dalam bahasa Paris, ia bermaksud satu rangka (proses yang menjadikan sebuah kereta)
2) Transmisi : terikat rapat terus kepada enjin belakang
3) Differential : aturan gear yang membenarkan roda belakang kereta berputar dengan kadar berbeza apabila membelok

Ibrah dan pengajaran

Minat menjadikan seseorang itu mampu menguasai sesuatu bidang. Ia nyata ketara pada Aiman yang sangat meminati sains. Aiman membuat bacaan mendalam tentang bidang permotoran Fomula Satu sehingga mampu menerangkan kepada kawan-kawannya. Suka juga dengan watak William yang pemurah dan tidak berkira dalam berbuat baik kepada kawan-kawannya. Subhanallah.

Watak yang disukai

Aiman memang patut dicontohi kerana seorang yang menjaga solat. Walaupun kawan-kawannya bukan beragama Islam namun Aiman tidak malu berkongsi pengetahuan tentang Islam dengan mereka. Aiman juga bijak mengawal perasaan dan memberi semangat kepada kawan yang mengalami masalah. Dia juga suka berkongsi ilmu kerana minatnya yang tinggi dalam membaca.

“Favourite Quote”

Bijak sekali Aiman memujuk Ying Chun yang kecewa dimalukan oleh Fasha, seorang rakan yang diminati oleh Ying Chun. Malah, Fasha menyebarkan lukisan potret wajahnya yang dilukis oleh Ying Chun kepada kawan-kawan. Ying Chun berasa malu kerana diejek. Aiman memberi perumpamaan :

Segelas air yang separuh terisi dapat dilihat dengan pelbagai perspektif. Jika kita berfikiran negatif, kita akan melihatnya sebagai separuh kosong. Jika kita berfikiran positif, kita akan melihatnya sebagai separuh penuh.

Dalam hal ini, Aiman mencadangkan Ying Chun menggunakan kemahiran melukisnya dengan mencari dana untuk disalurkan kepada badan kebajikan yang memerlukan. Bernas!

Leave a Reply

Open chat