Ulasan buku : Sahaja Aku Menjadi Imam

IMG20191030081441.jpg

Hidup ini sebenarnya adalah satu perjalanan yang mana destinasi akhirnya ialah ke syurga atau neraka.

Imam Andi membukukan pengalaman beliau bermula dengan kekecewaan yang mendalam ekoran tidak terpilih dalam pentauliahan leftenan muda PALAPES membawa satu lembaran baru dalam hidupnya.

Perasaan hampa membawanya melewatkan solat dan bertukar kelakuan. Namun takdir Allah menemukan beliau dengan sahabat yang berani nenegur culasnya beliau dalam menjaga solat berjemaah.

Pada bahagian ini saya terdiam memikirkan bahawa kita sebenarnya tidak perlu jadi sangat sempurna untuk menasihati orang lain. Asal namanya Islam, maka layaklah kamu menjadi pendakwah.

Asbab menjaga solatnya kembali, satu demi satu Allah datangkan rezeki kepada penulis. Dilantik menjadi bilal, imam, bendahari seterusnya Imam masjid besar di Negeri Sembilan. Malah, Allah kurniakan juga bertemu jodoh yang solehah. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah mahu didustakan?

Pengalaman mengajar diri lebih matang, berhati-hati dan memahami setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Suka sekali apabila ada cadangan buku dari penulis untuk dibaca serta ada tinta #nasihat dari Imam.

 

Terkesan

Jangankan Imam Andi tersentak, saya yang membaca ini pun terasa menusuk ke dalam hati.

Nasihat pertama :

Tersangat rugi bagi seorang pelajar agama atau orang yang mengetahui bab agama tetapi surau pun dia tidak mahu jejak.

Tersangat rugi bagi orang yang tidak mengosongkan waktu maghrib dan isyak untuk duduk sebentar di rumah-rumah Allah mendengar kuliah mahupun beribadah secara sendiri ketika tiada kuliah. 

Tersangat rugi orang yang jadikan waktu maghrib isyak untuk makan, tonton televisyen.

Tuan-tuan, sudahlah kita payah untuk bangun malam, bila lagi kita nak fokuskan waktu kita untuk Allah? – Ustaz Abdullah Jalil, pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM.

Nasihat kedua :

“Zaman sekarang ini orang suka bina badan. Apa itu orang panggil, “sado” ya? Tetapi percayalah cakap pakcik, tak berguna langsung benda itu, kalau selimut yang ringan pun susah nak angkat untuk bangun Subuh.”

 

Inspirasi

Dan untuk kesekian kalinya, rindu Ramadan semakin mencengkam hati tatkala membaca kisah inspirasi seorang jemaah masjid beliau. Orang muda itu selalu kelihatan bersolat jemaah setiap waktu. Bagaimana boleh begitu istiqamah? Sedangkan jika difikirkan waktu antara 8 pagi hingga 5 petang adalah waktu bekerja bagi kebanyakan orang.

Selepas ditanya, rupanya beliau menghentikan segala pekerjaan semasa bulan Ramadan bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap bulan mulia ini. Adakah duitnya? Insya Allah cukup, kata orang muda itu. Sebelum Ramadan sudah berusaha lebih sedikit untuk “cover” sebulan Ramadan .

 

Ibrah

Pengalaman penulis sebagai imam masjid besar menemukan beliau dengan pelbagai ragam masyarakat. Ia bukan sekadar catatan tetapi satu bentuk tarbiah Allah juga untuk kita semua. Wallahualam.

Mencari buku ini? Klik sini.

Selamat membaca.

 

Leave a Reply

Open chat