Ummi, nak masak juga!
Tempoh PKP yang panjang membuatkan anak-anak lebih santai di rumah. Jika tidak, pulang sekolah sudah keletihan dan tertidur. Jadi cuti panjang ini mereka nampaknya berminat dengan kerja di dapur. Semoga minat ini sampai dewasa ya 😊
Sesekali sahaja saya libatkan mereka dengan proses memasak dari awal penyediaan bahan sehingga kepada menghidang. Namun suami dan adik ipar saya sangat rajin ajar anak-anak ini memasak. (Terima kasih Kak Yah!)
Lalu, saya pun beranikan diri ajar anak-anak. (Maaf ya, saya tiada pengalaman belajar memasak ketika kecil. Tinggal bersama nenek, hanya nenek dan emak yang mendominasi dapur sejak dahulu. Hanya selepas SPM barulah saya belajar memasak).
Satu kelebihan – anak-anak sudah mengenal bahan masakan (antaranya melalui buku Dapur Emak Saya 😉) dan boleh memotong bawang walaupun belum menepati piawaian 😁 Untuk kali ini, saya gunakan bawang kisar, lebihan bahan masakan hari raya).
Gembira betul mereka dapat masuk dapur. Mereka belajar memasak nasi dan beberapa lauk asas.
☑️Ikan goreng
☑️Sayur tumis air
☑️Sambal sotong
☑️Sambal udang
☑️Sup ayam
☑️Nasi goreng
Dalam banyak-banyak menu, sambal sotong menjadi kegemaran si sulung. Pernah kami makan menu ini selama lima hari berturut-turut 😃 Masya Allah. Agaknya benar-benar mahu menguasai resipi itu. Adik-adiknya pun makan sahaja. Licin!
Sambal sotong
Bahan
1 biji bawang besar dihiris
4 ulas bawang putih dihiris
300g sotong
3 sudu makan lada boh
4 sudu makan sis tiram
2 sudu makan sis tomato
Setengah cawan air
Sedikit garam dan gula
Cara
1. Tumis bawang sehingga naik bau.
2. Masukkan lada boh. Masak hingga pecah minyak.
3. Masukkan air, sos tiram dan sos tomato.
4. Masukkan sotong, perasakan dengan garam dan gula.
5. Siap untuk dihidang.
Setiap kali mereka pegang buku resipi, mesti ummi yang rasa berdebar-debar! 🤣
Esok, katanya mahu masak nasi goreng cina Noxxa. Haaa, sudah. Nanti kita lihat kejadiannya ya. Insya Allah.
Aina Dayana Hilmi,
Anak semakin membesar.