Usrah Baitul Fatimah
“Ummi nak pergi mana?” Mungkin melihat umminya bagai lipas kudung bersiap sambil adik menangis kuat. Si kecil Aieesyah ini dalam fasa mahu mengempeng sahaja.
Saya melihat jam sudah melepasi 7.40 malam. Ah, sudah. Kelas bermula 8.00 malam. “Umi nak ke Darul Sunnah, ada kelas mengaji kaum ibu.” Anak-anak menganggukkan kepala.
Mahu tidak mahu perlu bawa anak yang kecil dan si sulung. Terima kasih Kakak tolong tengokkan adik-adik. Yang lain duduk di rumah nek umi sekejap. Lagipun ada sepupu yang pulang ke kampung.
‘Kelas mengaji dan usrah untuk ibu-ibu dan remaja perempuan setiap Khamis malam Jumaat bermula 8 malam.’ Begitulah makluman dalam kumpulan WhatsApp.
Saya bukan ustazah dalam bidang ini. Malu pula bila diminta mengendalikan program ini. Macam-macam difikirkan. Ada bayi dan anak kecil, bimbang meragam ketika usrah dan lain-lain hal. Namun saya terima untuk membantu pihak urusetia dengan sedikit ilmu yang ada.
Teringat akan hadis ini :
كُلُّ مَعْرُوفٍ صَدَقَةٌ
Setiap kebaikan adalah sedekah. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Kebaikan itu memberi manfaat kepada orang lain. Sama ada dengan harta, material ataupun membantu orang lain. Hadis ini juga mendorong kita untuk berbuat kebaikan. Ringkas tetapi padat mesejnya, kan?
Alhamdulillah seronok bertemu dalam majlis ilmu sebegini. Seolah-olah recharge tenaga dan memenuhi tabung emosi si surirumah ini. Membaca hadis, mengaji al-Quran dan berbincang beberapa perkara.
Antara persoalan yang dibangkitkan sudah tentu perihal anak-anak. Menjadi ibu harus kuat semangat dan kental. Ujian setiap orang berbeza tetapi bagaimana kita menanggapi ujian itu.
Dalam ibu-ibu berbincang, suara anak-anak melatari pertemuan tempoh hari. Ada dalam 4 orang sahaja tetapi meriah betul rasanya. Hehe. Alhamdulillah ada sedikit alat permainan tersimpan di Darul Sunnah. Dapatlah mereka main. Lepas ini saya boleh sediakan aktiviti untuk mereka insya-Allah.
Semoga Allah mudahkan dan kurniakan kesabaran buat kita semua.
Terima kasih Puan Hafizah, Kak Mila dan Kak Zuraida yang hadir sesi lepas. Semoga Allah izin bertemu lagi minggu hadapan.
Aina Dayana Hilmi
1 Januari 2022